HALAMAN SANTAI

Selasa, 31 Julai 2018

Menteri amat daif – Ahmad Murad

Ainul Asniera Ahsan

Murad-Merican
Prof Dr. Ahmad Murad Merican

KUALA LUMPUR – Petikan video Naib Pengerusi DAP, M. Kula Segaran yang mendakwa Melayu golongan pendatang di negara ini, sementara penduduk asal merupakan penganut agama Hindu adalah ungkapan yang amat bahaya dalam konteks keaslian dan asal-usul etnisiti dan entiti bangsa itu.

Kenyataan itu juga menunjukkan Kula Segaran tidak mengetahui dinamka tanah air sebagai satu entiti konsep dalam psyche (roh) Melayu, sekaligus daif mengenai idea rumpunisme dalam perhubungan rangkaian Melayu di alam Melayu

Ahli Akademik Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Datuk Dr. Ahmad Murad Merican berkata, tidak ada Melayu pendatang kerana semua Melayu merantau menggunakan saluran selat dan perairan serta merentasi lautan berulang alik dari satu tempat ke ruang yang lain.

Semuanya dalam linkungan air dan darat ruang geografi budaya yang sama.

Keluasan geografi dan budaya Alam Melayu dari Pulau Malagasi ke Pulau Hawai, dari Rapanui ke New Zealand, adalah “motherland” orang Melayu.

Ujarnya lagi, orang Melayu tiada masalah berkongsi tanah airnya.

“Menteri amat daif dengan erti rantau perantauan. Menteri seperti katak di bawah tempurung dalam pemahamanya mengenai Melayu.

“Beliau ingat Melayu hanya wujud di Semenanjung Tanah Melayu sahaja walaupun mungkin maksudnya Malaysia,” jelas beliau sambil menyifatkan Menteri Sumber Manusia itu tidak faham sejarah kepulauan dan Alam Melayu.

Ahmad Murad menambah, Melayu wujud di pulau-pulau Melayu dan talian persaudaraan yang akrab, ramai ahli keluarga Melayu di Malaysia yang bertebaran, bermastautin dan berulang alik dari Sumatera, Singapura, Pulau Jawa dan Borneo, tak lupa juga dengan wilayah apa yang kita kenali sebagai selatan Thai.

Menurutnya, Melayu berlegar sejak berzaman, sebelum zaman Hindu lagi, dalam perairan kepulauan Melayu.

Ahmad Murad berkata, Kula perlu faham konsep dan amalan tanah air.

“Melayu perantau dan bukan pendatang. Melayu tidak pernah jadi pendatang dan merentasi ruangnya budaya dan geografinya.

“Jika tidak faham atau tidak sengaja faham, jangan sentuh taman dan tanah air orang Melayu. Sejarah orang-orang Melayu lebih besar dari sejarah negara Malaysia,” tegas beliau.

Kepulauan Melayu yang dikenali sebagai ”Malaysia” dari abad ke 16 bermaksud “pulau-pulau Melayu” dan Melayu telah dikenali oleh ahli pemetaan dan geografi Mesir/Yunani, Ptolemy sejak abad pertama lagi.

Pelbagai nama variasi di beri termasul Malae kolon, dan juga kunlun oleh orang China yang merujuk kepada penduduk yang bermastautin di Kepulauan Melayu.

Katanya, walaupun Melayu pernah sampai ke India dan China, berdagang dan merantau sejak berabad lalu, orang Melayu tidak pernah menyentuh keperibadian dan kedudukan orang India (yang digelar Keling) dalam bahasa dan wacana Melayu lama), misalnya.

Tuan menteri, Kepulauan Melayu ialah taman permainan dan kehidupan budi dan jiwa Melayu.

Beliau berkata, memang betul pada satu masa dulu orang Melayu beragama Hindu. Malah, tuan menteri dan pengikutnya tidak ada keupayaan untuk bezakan agama Hindu dan keaslian Melayu di Kepulauan Melayu.

Kula Segaran dalam video berkenaan didakwa mengeluarkan kenyataan Melayu merupakan golongan pendatang di negara ini sementara penduduk asal merupakan penganut agama Hindu.

Tambahnya, masyarakat Hindu yang mula menjejakkan kaki di negara ini sejak 2,500 tahun lalu dan semua bukti mengenai kedatangan agama Hindu terdapat di Lembah Bujang, Kedah dan banyak kuil telah ditemui di sana.

Kenyataan Kula Segaran dalam bahasa Tamil itu dibuat ketika menghadiri program di Nilai.

Bagaimanapun, semalam beliau menafikan ada mengeluarkan kenyataan sedemikian.

Sebaliknya, beliau menyifatkan laporan media berhubung isu itu adalah satu fitnah dan pembohongan.

“Saya tidak pernah berkata begitu. Ia diputarbelitkan tanpa latar atau konteks yang sebenarnya,” katanya. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: