HALAMAN SANTAI

Selasa, 31 Julai 2018

Menteri: Pusat jagaan dikenakan tindakan jika HFMD meningkat

 
Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata tindakan akan diambil jika pusat penjagaan merekodkan beberapa kes yang mencapai tahap berbahaya.



Dzulkefly Ahmad berkata penularan HFMD berlaku di premis yang menjadi tumpuan kanak-kanak seperti taska, tadika, tabika dan pra-sekolah. (Gambar Youtube)


KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengambil tindakan terhadap pemilik pusat penjagaan kanak-kanak jika didapati merekodkan jumlah kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) makin meningkat, kata Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad.

“Jika pusat penjagaan merekodkan beberapa kes yang mencapai tahap berbahaya, kementerian akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka.

“Setakat ini tiada tindakan diambil terhadap mana-mana pusat jagaan, tetapi pentingnya pusat-pusat itu sendiri menyedari pentingnya kebersihan,” katanya ketika menjawab pertanyaan lisan Ahmad Marzuk Shaary (PAS-Pengkalan Chepa) di Dewan Rakyat.

Dzulkefly berkata Kementerian Kesihatan sedang mengawal peningkatan kes HFMD melalui kempen pelaksanaan 5 perkara utama.

Katanya, kempen ini akan dilaksanakan secara intensif dan berterusan selama 3 minggu yang melibatkan semua taska, tadika, tabika dan pra-sekolah.

“Penyakit ini berkait rapat dengan amalan kebersihan diri dan persekitaran serta mudah menular di kalangan kanak-kanak kecil berumur kurang daripada 7 tahun, terutamanya di premis yang menjadi tempat tumpuan kanak-kanak seperti di taska, tadika, tabika dan pra-sekolah.

“Melalui kempen ini, 5 perkara yang akan ditekankan adalah penjagaan kebersihan diri, amalan cuci tangan yang betul, penjagaan kebersihan persekitaran, pemeriksaan di pintu masuk premis dan nyahkuman di permukaan yang tercemar,” katanya sambil memaklumkan sehingga kini 2 kematian dicatatkan dan kes di Selangor paling tinggi iaitu 11,668 kes.

Menurutnya, bagi kawalan dan pencegahan jangka panjang, latihan kepada pengusaha taska, tadika, pra-sekolah dan sekolah akan diadakan setiap tahun.

“Latihan ini akan dijalankan bersama kementerian dan agensi terbabit menggunakan garis panduan sedia ada.

“KKM percaya dengan meningkatnya ilmu pengetahuan dan pematuhan pelaksanaannya, ianya akan menjadikan polisi tersebut kekal diamalkan,” katanya.

Beliau juga berkata, pihaknya memandang serius terhadap kehadiran produk pencegahan HFMD yang berada di pasaran.

“Semua ini akan kami ambil sebagai satu yang serius untuk kita pastikan implikasi dan keberkesanannya,” katanya.

Tiada ulasan: