THE MALAYSIAN TIMES
PUTRAJAYA: Pembangunan projek Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (Rumawip) akan diteruskan dengan beberapa penambahbaikan antaranya dalam aspek pemberian tender dan agihan rumah, kata Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad.
Beliau berkata Rumawip adalah pendekatan paling berjaya yang pernah diperkenal kementerian itu dalam menyediakan kediaman mampu milik kepada rakyat kerana pembangunannya dibuat oleh pemaju yang mendapat projek daripada kerajaan.
“Sejak diperkenal, projek itu tidak pernah gagal disiapkan atau terbengkalai, malah pembeli Rumawip juga mudah mendapat pinjaman kewangan daripada institusi kewangan atas faktor pasaran dan nilai hartanah di kawasan berkenaan,” katanya.
Khalid berkata kementeriannya akan berbincang dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi memastikan projek berkenaan diteruskan dan kementerian dapat memainkan peranan dalam menambah baik konsep pembinaan dari awal sehingga ia diagihkan kepada pembeli.
“Kita akui Rumawip adalah satu pendekatan yang paling berjaya tetapi kita juga dapati beberapa unsur tidak sihat seperti pemberian projek tidak dibuat secara tander terbuka, ketelusan dalam agihan dan terlalu menguntungkan pemaju,” katanya pada sidang media selepas sesi dialog bersama usahawan Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) Putrajaya di sini hari ini.
Rumawip antara projek pembinaan rumah oleh Kementerian Wilayah Persekutuan semasa pemerintahan kerajaan terdahulu yang kini akan diuruskan Majlis Perumahan Mampu Milik di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan selain Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).
Dalam pada itu, Khalid berkata kementerian itu akan melihat semula Pelan Induk Putrajaya 1995 bagi mengenal pasti kekangan yang mungkin wujud sehingga menyebabkan lot-lot tanah di pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang dikhususkan untuk pembangunan komersial tidak terjual seperti sepatutnya.
Beliau berkata dasar awal yang lebih tertumpu kepada penjualan tanah kepada syarikat-syarikat besar mungkin menjadi antara sebab lot-lot komersial itu tidak dapat dijual.
“Untuk menjadikan Putrajaya berkembang dari segi komersial, kita perlu membenarkan syarikat-syarikat kendalian usahawan kecil dan sederhana untuk terlibat dan menyertai pembangunan yang dirancang.
“Selepas sekian lama Putrajaya diteroka, hanya 30 peratus daripada lot untuk komersial dapat dijual… ini perlu diteliti sama ada pelan asal itu perlu dikekalkan atau diubah bagi membuka ruang kepada industri kecil dan sederhaha untuk bertapak,” katanya.
Khalid berkata kementeriannya sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak termasuk Awqaf Holdings Berhad (Awqaf) dalam memastikan jumlah tanah yang dikelaskan sebagai lot komersial itu dapat dimajukan dan dijual.– Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan