HALAMAN SANTAI

Selasa, 31 Julai 2018

Pemuda UMNO buat laporan polis terhadap Kula

THE MALAYSIAN TIMES
 


KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia hari ini membuat laporan polis serentak di seluruh negara ekoran kenyataan Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran yang mendakwa bangsa Melayu adalah pendatang seperti yang dilaporkan sebuah akhbar nasional sebelum ini.

Ketuanya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata tindakan Naib Pengerusi DAP itu mampu mencetuskan ketegangan kaum dan ketidakstabilan dalam masyarakat.

“Sebagai seorang menteri, beliau harus mempunyai moral yang tinggi dan tidak boleh menipu rakyat dengan sewenang-wenangnya.

“Kita tidak mahu keharmonian yang dikecapi selama ini digadaikan hanya kerana seorang menteri yang bersikap perkauman melampau,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini.

Beliau juga berkata Kula Segaran perlu diambil tindakan kerana Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Abdullah Zaik Abd Rahman pernah didenda kerana menerbitkan artikel berbaur hasutan pada 2016.

Ucapan Kula Segaran pada satu majlis di Nilai, Negeri Sembilan pada 21 Julai lepas telah mencetuskan kontroversi selepas ia tular setelah dimuat naik di laman YouTube.

Dalam satu kenyataan hari ini, menteri itu berkata ucapan beliau itu telah disalah tafsir sehingga mengandaikan beliau telah menggunakan istilah ‘pendatang’ dengan merujuk kepada pihak yang tidak senang dengan penggunaan perkataan itu terhadap mereka.

Sehubungan itu, Kula Segaran memutuskan untuk memohon maaf dan menarik balik perkataan tersebut untuk mengelakkan kontroversi itu menjadi lebih buruk.

Sementara itu di SHAH ALAM, Ketua Pemuda UMNO Selangor Rizam Ismail berkata Pemuda UMNO turut mendesak pemimpin DAP itu meletakkan jawatan sebagai menteri.

“Sebagai seorang menteri beliau seharusnya berhati-hati ketika berucap dan mengeluarkan kenyataan, beliau seharusnya fokus kepada kerja-kerja untuk meningkatkan prestasi kementeriannya,” katanya ​​​​​​​kepada pemberita sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam. Turut hadir kira-kira 100 anggota Pemuda UMNO Selangor.

Di IPOH, Ketua ​​​​​​​Pemuda UMNO Perak Mohd Ariff Abdul Majid dan dua NGO iaitu Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) dan Gerakan Belia 4B Perak turut membuat laporan di Balai Polis Sungai Senam.

“Walaupun beliau (Kula Segaran) telah membuat permohonan maaf tetapi sebagai seorang menteri yang menjadi rujukan kepada rakyat, beliau harus bertanggungjawab atas kenyataan yang dilakukannya.

“Kita juga mendesak supaya Kula Segaran segera meletakkan jawatan sebagai menteri,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis berkenaan.

Di ​​​​​​​SEREMBAN, Ketua Pemuda UMNO Negeri Sembilan Datuk Zaidy Abdul Kadir berkata kenyataan sedemikian tidak sepatutnya dikeluarkan oleh menteri itu.

“Malaysia sudah lama merdeka… jadi tidak perlulah mencetuskan isu perkauman malah Pakatan Harapan sudahpun menjadi kerajaan pada hari ini,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban.

Di ALOR GAJAH, Pemuda UMNO Melaka turut membuat laporan di Balai Polis Durian Tunggal terhadap anggota Parlimen Ipoh Barat itu kerana menyifatkan kenyataannya itu bukan sahaja menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan orang Melayu tetapi juga kaum India.

“Nasi sudah menjadi bubur dan beliau (Kula Segaran) telah mengeluarkan kenyataan dan video (kenyataan) tersebut telah tular,” katanya ketika ditanya tentang tindakan Kula Segaran memohon maaf bagi kenyataannya itu.

 Di JOHOR BAHRU, Ketua Pemuda UMNO Johor Mohd Hairi Mad Shah berkata laporan polis yang dibuat hari ini ini bukan mahu mencetuskan huru-hara, provokasi atau sentimen perkauman tetapi UMNO sebagai sebuah parti yang memperjuangkan bangsa Melayu melihat kenyataan itu sebagai sesuatu yang serius dan berat.

Beliau dalam pada itu turut mempersoalkan sikap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dilihat mendiamkan diri berhubung isu kontroversi itu tanpa membela masyarakat Melayu.

“Apakah pendirian dalam isu ini. Sebagai parti yang menggunakan nama pribumi dan ahlinya berbangsa Melayu, adakah mereka hanya mahu duduk diam sahaja dan menikus?,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu di Balai Polis Sentral.

Di KOTA BHARU, Pemuda UMNO Kelantan menegaskan kenyataan berbaur perkauman yang kemudiannya disusuli permohonan maaf selepas menerima kecaman adalah satu sikap yang perlu dihentikan.

“Perbuatan meminta maaf selepas melakukan provokasi melampau seakan sudah menjadi kebiasaan sejak kebelakangan ini dan ia bukan jalan terbaik menyelesaikan masalah.

“Kita khuatir perkara sebegini akan dipandang ringan oleh pihak lain pula selepas ini dan sewenangnya akan mengulangi perkara sama. Tindakan tegas perlu diambil,” kata Ketuanya Noor Hariri Mohamed Noor kepada pemberita selepas membuat laporan di Balai Polis Kota Bharu.

Di GEORGE TOWN, Pemuda UMNO Pulau Pinang mahu tindakan undang-undang diambil terhadap Kula Segaran walaupun sudah memohon maaf.

“Kami tidak mahu tindakan memohon maaf selepas membuat kenyataan bersifat perkauman sebegini menjadi budaya dalam kalangan masyarakat,” kata Ketuanya Anuar Faisal Yahaya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut.– Bernama

Tiada ulasan: