Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata pihaknya dapat "menghidu" rancangan kerajaan untuk memansuhkan Majlis Amanah Rakyat (MARA).
Dalam kenyataan media hari ini, Zahid mendakwa perkara itu akan terjadi sekiranya kerajaan melaksanakan konsep “pengasingan dan penyerapan” ke atas MARA.
Ketua pembangkang itu merujuk kepada laporan kemungkinan MARA dipecahkan dan fungsinya diletakkan di bawah Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Kementerian Pembangunan Usahawan.
Justeru, Zahid menegaskan Umno akan menentang usaha seumpama itu.
"Umno dapat menghidu jika formula ini dilaksanakan, ia sebenarnya jalan menuju kepada fasa penutupan dan pemansuhan MARA yang selama ini telah banyak berjasa dalam pembangunan Melayu dan bumiputera di seluruh negara
"Umno percaya usaha memecah-kecilkan MARA dan diletakkan dalam pelbagai kementerian akan menyukarkan MARA mencapai matlamatnya membantu Melayu dan Bumiputera," katanya.
Zahid juga menegaskan MARA tidak seharusnya menjadi mangsa "politik balas dendam," kerana ia sudah menabur bakti terhadap masyarakat Bumiputera selama 52 tahun.
Zahid menggesa agar kerajaan fungsi MARA dikekalkan dan diletak di bawah satu kementerian.
Laporan New Straits Times semalam memetik bekas pengerusi MARA tan Sri Annuar Musa yang mengeluarkan kenyataan di Twitter bahawa MARA dilapor akan dirombak dan dipecahkan kepada beberapa kementerian.
Senarai yang dilihat Malaysiakini, mengandungi cadangan rombakan pelbagai agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Senarai itu juga menunjukkan fungsi MARA dibahagikan kepada beberapa kementerian.
Senarai itu, yang belum dimuktamadkan, juga menunjukkan beberapa GLC penting seperti Khazanah Nasional, Petronas dan Permodalan Nasional Berhad dijangka dipindahkan daripada Kementerian Kewangan ke Jabatan Perdana Menteri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan