PEMILIHAN parti PKR yang akan berlangsung tidak lama lagi bakal menyaksikan pengaruh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali terus kukuh dalam parti.
Dalam barisan pemimpin parti, timbalan presiden PKR itu menduduki tempat paling berpengaruh dalam kabinet kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebagai menteri ekonomi.
Kedudukan ini sebenarnya lebih kukuh daripada timbalan perdana menteri yang semua tahu merupakan jawatan paling tidak selamat kalau perdana menterinya Mahathir.
Cuma kali ini berbeza kerana timbalan perdana menteri dijangka tidak mempunyai cita-cita politik yang besar dan tidak akan mencabar Mahathir.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilantik ke jawatan itu atas kedudukannya sebagai presiden parti dalam PH.
Jawatan dalam parti Wan Azizah bakal berubah tidak lama lagi apabila pemilihan pemimpin PKR berlangsung kerana ketua umumnya yang lebih berkuasa mahu diletakkan sebagai presiden.
Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu segera diletakkan pada jawatan yang rasmi itu, kerana selama ini jawatan ketua umum tidak rasmi dan sukar untuk diiktiraf oleh parti komponen lain.
Ada banyak sekatan apabila Anwar hanya berjawatan ketua umum, lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang ini dengan PH sudah berkuasa dan jawatan kabinet ditentukan mengikut jawatan dalam parti.
Anwar dijanjikan sebagai perdana menteri selepas Mahathir yang dikatakan sebagai perdana menteri sementara. Tetapi sementara itu tidak dapat ditentukan dan bukan satu perjanjian.
Ada yang menyebut dua tahun, ada yang berkata satu penggal, ada juga yang mahu terus dipenuhkan dua penggal, yang semuanya bertujuan melewatkan atau menghalang Anwar daripada menjadi perdana menteri.
Tetapi bukan Mahathir sahaja yang menghalang Anwar menjadi perdana menteri. Sebenarnya Azmin lebih berpotensi menghalang Anwar menduduki kerusi perdana menteri.
Azmin sebenarnya ialah satu lagi sebab kenapa Anwar mahu mengambil alih jawatan presiden daripada isterinya.
Boleh dikatakan pertembungan kali ini dalam PKR ialah antara Azmin dengan Anwar, yang kedua-duanya mahu menjadi perdana menteri.
Selama Anwar di penjara, Azmin sudah mengukuhkan kuasanya dalam PKR. Pengaruhnya sangat kuat hingga beliau boleh memilih siapa yang mahu diletakkan sebagai menteri besar Selangor menggantikannya.
Ini menunjukkan Azmin masih menguasai pentadbiran negeri Selangor, negeri kubu kuat dan lubuk bagi PKR, pada masa yang sama beliau menjadi menteri dalam Kabinet Mahathir.
Anwar masih berpengaruh tetapi tidak boleh menyamai pengaruh Azmin, lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang di mana PKR sudah menjadi sebahagian kerajaan persekutuan.
Bagi ramai pemimpin PKR, Azmin ialah masa depan manakala Anwar ialah masa lalu yang semakin kelam.
Pemimpin-pemimpin kem Azmin juga merupakan pemimpin berpengaruh dalam PKR, yang semuanya sudah diletakkan di jawatan strategik.
Ini bermakna kuasa politik, wang dan jentera parti berada dalam genggaman Azmin, walaupun Azizah berjawatan presiden dan Anwar sebagai ketua umum.
Kalau Anwar berjaya menggantikan Azizah sebagai presiden, maka kuasa Anwar akan mengatasi Azmin dalam parti, tetapi Azmin tidak akan berdiam diri.
Kedua-dua pemimpin ini sedar mereka akhirnya perlu bersaing antara satu sama lain dalam PKR dan dalam kerajaan persekutuan sekiranya Anwar menjadi perdana menteri.
Dalam parti, sekiranya Anwar dicabar oleh Azmin untuk jawatan presiden, jalannya menuju kerusi presiden mungkin sukar kerana pengaruh Azmin yang kuat dalam parti.
Azmin boleh dihalang dengan cara “silap mata” seperti yang pernah dilakukan oleh anwar sebelum ini semasa hendak menghalang Azmin mencabar Wan Azizah.
Tetapi kalau Azmin tidak bertanding jawatan presiden, ada kemungkinan beliau dicabar sebagai timbalan presiden oleh orang Anwar.
Semua masih berteka-teki dalam menentukan siapa akan bertanding, tetapi ada kemungkinan pertempuran dahsyat berlaku.
Azmin sudah menyampaikan amaran supaya Anwar tidak menyokong mana-mana pihak mencabarnya bagi jawatan timbalan presiden.
Apa yang jelas ialah pengaruh Azmin tetap kukuh dalam parti walaupun beliau tidak menduduki kerusi presiden parti.
Setakat ini, Azmin sudah mendahului di depan kerana sudah berada dalam kabinet dan menguasai sebuah negeri, manakala Anwar masih belum pasti kedudukan sebagai presiden parti dan perdana menteri. – Mynewshub.tv
Tiada ulasan:
Catat Ulasan