HALAMAN SANTAI

Ahad, 29 Julai 2018

Buku teks sejarah perlu dikaji semula, perjuangan komunis perlu ditulis?

Kasthuri Jeevendran

LIHAT VIDEO DI SINI


KUALA LUMPUR – Dengan tajuk sebuah wacana ‘Should We Rewrite Our History Book?’ (Perlukah Kita Menulis Buku Sejarah) para panelis berpendapat kandungan buku teks sejarah di negara telah dijadikan propaganda kerajaan terdahulu dan perlu dikaji semula.

Malah, forum tiga hari bertajuk A People’s History of Malayan Emergency yang dianjurkan Persatuan Persahabatan Berpanjangan Kuala Lumpur-Selangor dan Persatuan Persahabatan Abad Ke-21 di Dewan Perniagaan Cina Kuala Lumpur-Selangor turut memberi gambaran perjuangan kemerdekaan oleh haluan kiri seperti Parti Komunis Malaya (PKM) perlu mendapat pengiktirafan.

Bagaimanapun, tercetus ketegangan apabila dua panelisnya enggan menjawab dengan tepat persoalan kenapa kandungan buku-buku teks sejarah sekolah menengah perlu dinilai semula dengan memasukkan sejarah perjuangan pihak berhaluan kiri dalam naskhah-naskhah tersebut.

Kedua-dua aktivis kontroversi itu, pereka grafik, Fahmi Reza dan peguam, Fadiah Nadwa Fikri disoal bertubi-tubi oleh segelintir yang hadir sejurus selepas mereka melontarkan pendapat masing-masing tentang kewajaran buku teks sejarah ditulis semula dengan memasukan beberapa fakta tentang golongan haluan kiri.

Forum itu kemudian semakin tegang apabila ada antara hadirin yang berang serta menuntut jawapan tepat untuk memasukkan fakta-fakta berkaitan perjuangan pendukung fahaman komunis ketika era sebelum merdeka di dalam buku-buku teks sekolah.

Keadaan itu kemudian diredakan oleh moderator forum tersebut, Imran Rasid yang turut berdepan dengan kritikan hadirin yang ternyata begitu agresif apabila Parti Komunis Malaya (PKM) yang dianggap pengganas itu seolah-olah diangkat sebagai ‘pejuang’ kemerdekaan sehingga perjuangan itu perlu diiktiraf dalam buku teks sekolah.

Ada antara mereka yang bertanyakan mengapakah untuk tajuk berkaitan kajian tentang sejarah dan penulisan buku teks sekolah tidak ada seorang dalam kalangan akademik yang terlibat secara langsung atau sebaliknya dipanggil sekali untuk wacana tersebut.

Bagaimanapun, menurut Imran, pihaknya berusaha untuk menjemput beberapa ahli akademik dan pakar sejarah untuk hadir sama namun jemputan itu tidak mendapat ‘sambutan’.

Ada juga mempersoalkan logik untuk menganggap komunis sebagai pejuang yang sebenarnya telah menyebabkan perajurit negara mati di negara ini.

Bagaimanapun, Imran memohon kepada hadirin supaya bertenang dan jangan lari daripada tajuk, sebaliknya hanya berbincang adakah baik untuk membuat kajian dan menulis kembali beberapa fakta sejarah yang pada dakwaannya telah dimanipulasi demi tujuan propaganda politik sebelum ini.

Katanya, perbincangan hari ini adalah berkaitan buku teks sejarah, dan perbincangan mengenai zaman darurat telah berlangsung semalam.

“Kita telah berbincang tentang era komunis dan perjuangan kemerdekaan semalam dalam forum semalam, patutnya anda telah lontarkan soalan-soalan itu semalam. Tetapi tidak apa, kita akan dengar juga mungkin selepas tamat wacana ini.

“Jangan tegang, kita boleh bincang elok-elok. Kita cuma sedang bincang adakah baik untuk kita kaji serta menulis balik buku teks, ini adalah medan untuk lontarkan pendapat. Malaysia Baru mempunyai kebebasan untuk bercakap dan lontar pendapat.

“Perspektif tentang apa pandangan anda, itu sahaja. Jangan tegang. Kita hanya mahu berdialog sahaja,” ujarnya kepada segelintir hadiran yang mula melahirkan rasa marah dengan objektif penganjuran forum ini.

Dalam pada itu, seorang lelaki Cina yang hanya dikenali sebagai Hoon dari Shah Alam meminta penganjur untuk tidak melakukan ‘kesilapan’ lampau yang dilakukan oleh kerajaan terdahulu dengan mengapi-apikan atau memperbesarkan sesuatu isu.

“Janganlah buat kesalahan seperti kerajaan terdahulu. Jangan gunakan isu-isu tertentu untuk terus semarakan api perkauman dan sebagainya. Ini adalah Malaysia Baru. Cukuplah,” tegasnya.

Seorang lagi hadirian yang mahu dikenali sebagai Haji Hadi turut melontarkan mengapakah pihak penganjur hanya mahu bercakap tentang kandungan buku teks sejarah dan tidak ada pihak mahu bercakap tentang buku sejarah Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) pula.

Bagaimanapun, perkara itu tidak dijawab oleh panelis atau penganjur, sebaliknya hanya meminta setiap hadirin untuk bertenang dan meluahkan pandangan masing-masing dengan sabar. – Malaysia Gazette


Tiada ulasan: