HALAMAN SANTAI

Isnin, 30 Julai 2018

PSM: Lupakan hakim bersih tandas, fokus nasib tukang cuci

MALAYSIAKINI



Parti Sosialis Malaysia (PSM) berkata berlaku salah tumpuan isu dalam sorotan terhadap para hakim dan kakitangan mahkamah membersihkan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, termasuklah tandasnya selepas tukang cuci mogok.

Ahli jawatankuasa pusat PSM, R Rani berkata fokus patut diberikan terhadap nasib tukang cuci yang tidak dibayar kontraktor mereka selama beberapa minggu.

Beliau berkata ini bukan kali pertama pekerja kontrak di premis kerajaan tidak mendapat gaji mereka.

Rani menjelaskan perkara ini sebagai bentuk ketidakadilan terhadap golongan berpendapatan rendah seperti tukang cuci, pengawal keselamatan dan tukang kebun.

"Keseluruhan sistem kontrak yang dipakai kerajaan untuk pekerjaan sebegini di premisnya adalah tidak adil, bersifat eksploitasi dan melanggar hak-hak pekerja.

Pakej kerja kontrak

"Pekerjaan seperti tukang cuci, tukang kebun dan mengawal keselamatan di sekolah, hospital dan jabatan kerajaan lainnya bersifat tetap dan diperlukan selagi premis berkaitan beroperasi.

"Ia hal yang penting apabila pekerjaan tetap dipakejkan sebagai kerja kontrak dan ditawarkan kepada lelaki dan wanita pada peringkat paling bawah pekerjaan yang cuba untuk mendapat gaji berpatutan untuk menyara keluarga mereka," katanya dalam suatu kenyataan hari ini.

Rani berkata di bawah sistem kontrak, gaji tidak berubah tanpa jaminan pekerjaan.

"Tukang cuci kontrak yang telah berkhidmat selama 20 tahun tetap menjadi pekerja baru, pada permulaan gaji, dan dilucutkan daripada semua manfaat jangka panjang perkhidmatan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang lebih tinggi, lebih banyak cuti tahunan dan kemudahan perubatan serta lain-lainnya.

"Pihak kontraktor seterusnya menambah kesengsaraan pekerja kontrak di jabatan kerajaan, sejumlah besar mereka memaksa pekerja mereka dengan mengambil sebahagian daripada upah pekerja mereka, lambat membayar gaji pekerja, memotong gaji pekerja tetapi tidak menyumbang kepada KWSP dan Perkeso serta sesuka hati memecat pekerja," katanya.

Rani berkata kerajaan pembayar pendapatan kepada beratus-ratus ribu pekerjaan kontrak sedemikian, sebuah sistem yang diwujudkan oleh kerajaan sebelumnya yang memberi manfaat kepada kontraktor kroni dengan mengorbankan golongan berpendapatan rendah.

"Keadaan ini perlu berubah, dan kerana amalan salah ini juga merupakan trend dalam sektor swasta, kerajaan Pakatan Harapan perlu memimpin dan menjadi suri teladan dengan mengakhiri sistem kontrak untuk pekerjaan tetap dan mengambil pekerja secara langsung di premisnya," katanya.


Tiada ulasan: