HALAMAN SANTAI

Ahad, 29 Julai 2018

PRK SG KANDIS: ZAWAWI NAFI BERKEMPEN DALAM SEKOLAH


Wartawan Watan-Online


Calon PKR pada Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni menafikan dakwaan beliau berkempen dalam kawasan sekolah.

Mohd Zawawi sebaliknya berkata, beliau hadir ke sekolah itu atas jemputan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk merasmikan pelepasan larian ‘Fun Run’.

“Saya juga menafikan pergi dengan memakai baju parti. Pihak PIBG menyediakan t-shirt yang secara kebetulan adalah sama warna dengan warna biru muda PKR.

“Saya bersama 15 penyokong saya hadir ke sekolah. Namun pihak PIBG hanya ada tujuh helai t-shirt sahaja. Saya sedar tidak boleh berkempen di kawasan sekolah.

“Terdapat beberapa perkara berlaku di luar kawalan kami,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan PKR Sungai Kandis di Kota Raja, pada Ahad.

Mohd Zawawi berkata, hubungan akrabnya dengan pihak sekolah sudah lama terjalin, malah beliau pernah memegang jawatan Yang Dipertua PIBG selama empat tahun di sekolah itu.

Sebelum ini, tular di media sosial gambar beliau yang memakai baju biru muda bersama beberapa individu lain di atas pentas di sebuah sekolah rendah.

Turut kelihatan, di atas atas pentas itu ialah seorang lelaki yang memakai baju biru muda tertera perkataan ‘Keadilan’.


Tiada ulasan: