HALAMAN SANTAI

Sabtu, 28 Julai 2018

Saya ragu-ragu soal mansuh tol, kata CEO KWSP

MGF08022018_PC-Dividen-EPF-2017_03-1-681x454
Shahril Ridza Ridzuan


PETALING JAYA – Cadangan pemansuhan tol mungkin ditangguhkan dan tidak mampu dimuktamadkan sebelum tempoh 100 hari pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) berakhir.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Datuk Shahril Ridza Ridzuan berpendapat, kerajaan mempunyai keutamaan lain daripada segi kewangan yang perlu diberi perhatian buat masa ini.

Ditambah pula penghapusan tol memerlukan proses rumit kerana melibatkan banyak pihak, katanya.

“Kami ada memberi beberapa cadangan dan idea (kepada kerajaan) tetapi akhirnya dalam sebarang penstrukturan tol memang ia adalah zero sum game yang mana seseorang perlu membuat pembayaran sama ada ia memberi keseimbangan kepada pengguna atau tidak.

“Pengstrukturan tol sangat rumit kerana kepentingan semua pihak perlu diambil kira.

“Saya rasa kerajaan juga mahu berlaku adil kerana penghapusan tol dan membayar pampasan kepada syarikat konsesi akan memindahkan beban tersebut kepada pembayar cukai.

“Saya rasa itu yang menjadi keutamaan kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama dalam Forum Ekonomi dan Kepimpinan 2018 di sini hari ini.

KWSP memiliki sebanyak 49 peratus dalam syarikat konsesi lebuhraya PLUS Malaysia Bhd. Baki 51 peratus lagi dimiliki oleh Khazanah Nasional Bhd. melalui Kumpulan UEM.

Menurut Shahril, rakyat perlu realistik dalam isu berkaitan pemansuhan tol kerana ia adalah sesuatu yang rumit tambahan pula rakyat merupakan pemegang utama di dalam urusniaga tersebut.

“Saya ragu-ragu (tol boleh dihapuskan dalam tempoh 100 hari pemerintahan kerajaan PH).

“Saya perlu adil kepada kerajaan baharu dan rakyat juga perlu realistik.

“Tidak semua boleh diselesaikan dalam tempoh 100 hari. Mereka berbincang semua isu dan ada sesetengah isu lebih rumit berbanding yang lain.

“Tambahan pula, pasaran Malaysia memerlukan keyakinan dalam pasaran. Saya rasa kerajaan maklum mengenai perkara ini dan mereka juga tidak mahu melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan pasaran,” katanya lagi.

PH di dalam manifesto pilihanraya Umum Ke -14 yang lalu meletakkan penghapusan tol antara perkara utama yang akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari pemerintahannya.-MalaysiaGazette


Tiada ulasan: