HALAMAN SANTAI

Ahad, 29 Julai 2018

'Ahli PAS Sg Kandis jangan fikir pendek macam Nik Abduh'

MALAYSIAKINI

   

PRK SG KANDIS | Pemuda AMANAH Nasional berkata ahli PAS di Sungai Kandis perlu berfikir panjang sebelum membuat keputusan berikutan timbul gesaan daripada kepimpinan tertinggi parti itu untuk mereka mengundi Umno.

"Ahli PAS di Sungai Kandis perlu berfikir panjang sebelum mengundi Umno.

"Umno jugalah parti yang mempunyai pemimpin yang didakwa melakukan jenayah rasuah dan pengubahan wang haram sehingga membawa kepada banyak negara di dunia membuka fail siasatan ekoran skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Penyokong PAS semestinya tidak lupa bagaimana leburnya berbilion ringgit wang negara setiap tahun seperti didedahkan dalam Laporan Audit Negara... ketika Umno-BN berkuasa di Putrajaya sebelum ini," kata Ketua Pemuda AMANAH, Mohd Sany Hamzan dalam suatu kenyataan hari ini.

Mohd Sany mengulas Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Abduh Nik Abdul Aziz yang meminta anggota PAS mengundi Umno dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.

Sentimen sempit perkauman, agama

"Keputusan memberi undi kepada Umno juga samalah seperti bersubahat untuk memperalat sentimen sempit perkauman dan agama hanya untuk mahu terus mengaut rakus kekayaan di sebalik kuasa diperoleh.

"Pemuda AMANAH Nasional berharap ahli PAS pastinya tidak berfikir pendek seperti pemahaman Nik Abduh," katanya.

Malam tadi dua pemimpin pusat parti itu mengarahkan anggota PAS supaya memenangkan Datuk Lokman Noor Adam yang bertanding dalam usaha pembangkang merampas kerusi Sungai Kandis daripada Pakatan Harapan (HARAPAN).

Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan berkata anggota dan penyokong parti itu perlu mengundi Lokman jika mahu melihat HARAPAN dikalahkan.

Manakala Datuk Khairuddin Aman Razali yang juga bendahari Dewan Ulama PAS Pusat berkata tiada pilihan buat parti itu melainkan mengajak semua pengundi Sungai Kandis untuk menolak HARAPAN sebagai isyarat mereka tidak bersetuju dengan agenda yang dibawa kerajaan.


Tiada ulasan: