HALAMAN SANTAI

Jumaat, 27 Julai 2018

Permohonan Sajat ubah status jantina dalam KP tetap ditolak


BANGI– Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tetap menolak permohonan mengubah status jantina dalam kad pengenalan, daripada mana-mana individu yang sudah disahkan jantinanya sejak dilahirkan, seperti tertera pada sijil lahir.

Ketua Pengarah JPN, Datuk Mohammad Razin Abdullah berkata, sebelum ini pun, JPN pernah menolak permohonan sedemikian daripada individu yang mahu menukar status asal jantina pada dokumen mereka, kerana bertentangan dengan dasar jabatan itu.

“Kalau dalam sijil lahir mereka, jantina adalah lelaki, maka kami tidak akan menerima permohonan individu berkenaan untuk menukar jantina sebagai perempuan dalam sebarang dokumen,” katanya.

Memetik laporan NSTP beliau berkata, pihaknya tidak menghalang mana-mana individu yang mahu membuat permohonan menukar jantina mereka pada kad pengenalan, namun perkara itu akan diteliti terlebih dulu mengikut prosedur ditetapkan.

“Dalam proses permohonan penukaran jantina (pada kad pengenalan), ada beberapa aspek yang akan dilihat, iaitu dokumen kelahiran yang disahkan oleh doktor. Di dalam sijil kelahiran terdapat tiga kategori jantina yang diletakkan iaitu lelaki, perempuan dan diragui.

“Sekiranya jantina individu berkenaan (yang memohon menukar jantina pada kad pengenalan) disahkan oleh doktor sebagai kategori diragui, mereka boleh mengemukan permohonan untuk memilih salah satu jantina yang lebih dominan apabila sudah dewasa,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu yang mendakwa usahawan kosmetik bergelar selebriti, Nur Sajat Kamaruzzaman memohon mengubah status jantina dalam kad pengenalannya.

Mohammad Razin mengesahkan JPN tidak menerima sebarang permohonan dibuat individu terbabit seperti dakwaan bahawa usahawan itu membuat permohonan di Ibu Pejabat JPN Putrajaya, Jumaat lalu.

Tiada ulasan: