HALAMAN SANTAI

Sabtu, 28 Julai 2018

TERIMA KASIH PAS – LOKMAN




“Terima kasih PAS,” ucap Calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis, Datuk Lokman Noor Adam terhadap perkembangan positif rakan pembangkangnya itu.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu menyambut baik sokongan PAS yang mendorong ahlinya untuk mengundi beliau dalam pilihan raya itu.

Lokman berkata, ini adalah satu permula yang baik dan kali pertama UMNO dan PAS bersolidariti dalam usaha berdepan Pakatan Harapan (PH).

“Terima kasih kepada Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz di atas sokongan yang diberikan untuk menewaskan PH dalam PRK Sungai Kandis.

“Saya berharap semangat yang sama dapat diterjemahkan di peringkat akar umbi PAS dan UMNO.

Semoga Sungai Kandis menjadi lembaran baharu ukhuwah Islamiah antara UMNO dan PAS,” katanya ketika kempen di Sungai Kandis, pada Khamis.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Nik Mohamad Abduh yang mengakui PAS mendorong ahlinya mengundi calon UMNO pada PRK Sungai Kandis.

Dalam pada itu, Lokman menempelak calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni kononnya lawatan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke Sungai Kandis semalam, menguntungkannya.

“Saya menganggap Mohd Zawawi mungkin lupa ini ialah suasana pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Mungkin sebelum 78 hari lalu, rakyat terpedaya dengan fitnah terhadap Najib… sekarang tidak.

“Tidak semua orang termakan fitnah, tambahan pula sejak 78 hari mereka (PH) memerintah, mereka gagal mendakwa Najib dengan tuduhan mencuri wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB),” katanya.

Katanya, sudah pasti ramai yang akan bersimpati terhadap bekas Perdana Menteri itu yang teraniaya akibat fitnah oleh PH.


Tiada ulasan: