HALAMAN SANTAI

Isnin, 30 Julai 2018

Isu Melayu pendatang: Transkrip terjemahan bercanggah dengan penafian Kulasegaran



Walaupun Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran menafikan beliau mengeluarkan kenyataan bahawa orang Melayu adalah pendatang, tetapi transkrip ucapannya dalam satu majlis agama Hindu di Nilai, Negeri Sembilan minggu lalu adalah sebaliknya.

Transkrip terjemahan yang disediakan oleh aktivis sosial, Kiridaren Jayakumar mendapati Naib Pengerusi DAP berkenaan antara lain menyebut, “…mereka adalah pendatang, bukan kita pendatang. Kita dan mereka adalah sama.”

Bahkan, Kulasegaran yang sebelum ini mengejutkan ramai pihak apabila mengenakan serban ‘thallapa’ ketika majlis angkat sumpah di Istana Negara, Mei lalu berkata, guru yang dianggapnya tidak betul mengajar sejarah tentang kaum India harus diketuk kepala mereka.

Semalam, Kulasegaran menafikan laporan Utusan Malaysia berhubung isu kontroversi berbaur rasis itu dan menegaskan kenyataannya sengaja diputar belit oleh pihak tertentu dengan mengabaikan latar atau konteks yang sebenar.

Ahli Parlimen Ipoh Barat berkenaan berkata, fitnah terhadapnya ini sengaja dibuat untuk meniupkan isu perkauman, rasis dan propaganda terhadap sejarah Malaysia.

“Dalam majlis berbahasa Tamil itu, saya tidak menyebut sama sekali mengenai orang Melayu. Sudah tentu tuduhan kononnya saya mengatakan orang Melayu adalah pendatang satu fitnah dan pembohongan semata-mata.

“Apa yang saya jelaskan dalam majlis itu adalah orang India sudah berada di Tanah Melayu sejak 2,500 tahun lalu. Hindu dibawa oleh orang India ke Tanah Melayu. Hasil penemuan arkeologi di kawasan Lembah Bujang, terutama penemuan Sungai Batu di Kedah membuktikan hal ini,” katanya.

Mengulas rakaman ucapan Kulasegaran yang tular di media sosial itu, Kiridaren berpendapat kecuaian wakil rakyat DAP tersebut harus memberi pengajaran kepada ahli politik untuk sentiasa berfikir apabila bercakap.

“Saya melihat video tersebut, memang dia salah aspek bangsa dan agama, dan memang ada orang Tanah India datang di sini untuk berdagang tetapi bukan dalam kuantiti besar.

“Dan ada juga mereka yang kahwin dengan orang Melayu tempatan dan dikenali sebagai Chetti, dan mereka mengamalkan peradaban bangsa Melayu,” ujarnya dipetik dari Facebook beliau.

Berikut adalah transkrip terjemahan tersebut yang disediakan oleh Kiridaren:

“Sejarah buku teks kata kita di sini 130 tahun, bila kita datang ke sini. Ia tidak betul. Bilakah kita datang ke sini? 2500 tahun lalu. Manakah bukti itu? Boleh lihat di Lembah Bujang.

“Terdapat pelbagai kuil yang tertanam. Pada sejarah silam tersebut, mereka adalah pendatang, bukan kita pendatang. Kita dan mereka adalah sama.

“Tapi, kita sudah lupa sekarang, tanya pelajar-pelajar sekarang, berapa lamakah hubungan Hindu, mereka akan jawab 100 tahun, cikgu kita yang ajar. Cikgu yang berkata sebegitu perlu diketuk kepala, disebabkan negara kita ada had sebegitu sahaja.

“Jika anda pergi ke Lembah Bujang sekarang, amat jelas ada bukti hubungan kita. Kita perlu bercakap dengan semua orang dan masyarakat kita.

“Baru kita tahu kita tiadanya beza dengan mereka. Kita juga berhak untuk tinggal sini, ini adalah tanah ibu kita. Tiada yang lain, jika anda berfikir 2,500 tahun lalu, bagaimanakah keadaannya, kita ada segala hak. Jangan berputus asa.”

Tiada ulasan: