HALAMAN SANTAI

Isnin, 30 Julai 2018

Status LGBT tidak diterima tetapi usaha bersepadu pemulihan dipertingkat.



Status LGBT tidak diterima tetapi usaha bersepadu pemulihan dipertingkat.

Status golongan LGBT di negara ini kekal seperti yang ditetapkan dalam perlembagaan negara yang hanya menetapkan lelaki dan perempuan sebagai gender yang sah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa berkata, kerajaan tidak berganjak untuk menerima desakan mengiktiraf gender ketiga.

“Kejadian lelaki dan perempuan adalah fitrah dan tidak ada sebab untuk sesiapapun meminda ketentuan ini.

“Bagaimana kita boleh terima desakan pihak yang tidak sampai satu peratus dan meninggalkan golongan yang melebihi 99% atas dasar kononnya hak asasi manusia,” katanya ketika berucap merasmikan Seminar Peradaban Dan Kecelaruan Gaya Hidup Kontemporari 2018 di Kuala Terengganu semalam.

Bagaimanapun katanya golongan ini sebagai warganegara tidak boleh dinafikan hak mereka untuk hidup seperti orang lain.

“Hak mereka untuk bekerja, belajar dan dilindungi oleh undang-undang tidak boleh dicabuli.

“Tindakan terhadap mereka boleh diambil bila disahkan mereka melakukan jenayah melalui proses undang-undang,” katanya.

Apa yang lebih penting sekarang menurut Mujahid ialah usaha untuk mengendalikan golongan ini ke pangkal jalan.

“Pendirian kita ialah meningkatkan usaha kita memberi kesedaran dengan melakukan pelbagai pendekatan dan bukan membesar-besarkan soal hukuman.

“Usaha pihak berkuasa agama dan pelbagai NGO yang turut mengambil bahagian mendekati golongan ini dalam usaha pemulihan amat dialu-alukan kerajaan.

“Saya amat gembira mendengar exco kerajaan negeri Terengganu yang turun sendiri bertemu dan berbincang dengan golongan ini sebagai satu usaha mengembalikan mereka kepada fitrah,” katanya.

Sementara itu ketika menjawab soalan di sidang media selepas majlis berkenaan, beliau mengakui tiada statistik mengenai jumlah yang terlibat dengan LGBT di negara ini.

“Memang tidak ada statistik kerana semua statistik kerajaan ada dua gender sahaja dan dalam masyarakat kita seorang sukar mengakui terlibat.

“Bagaimanapun kita ada maklumat bahawa golongan ini bukan sekadar melibatkan golongan bawahan malah ada di antara mereka terdiri dari golongan atasan sektor awam dan swasta,” katanya.

Tiada ulasan: