HALAMAN SANTAI

Sabtu, 28 Julai 2018

Kajian makhluk halus tahyul undang kemarahan

 
Ahli akademi persoal bagaimana Kementerian Pendidikan boleh meluluskan dana untuk kajian itu.


Farouk Musa berkata kajian tidak saintifik akan menyebabkan Malaysia ditertawakan dunia sains.


PETALING JAYA: Geran RM15,000 yang dilapor diberikan oleh Kementerian Pendidikan untuk mengkaji makhluk halus dalam tubuh manusia mengundang kemarahan 2 ahli akademi.

Prof Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia mempersoalkan bagaimana geran penyelidikan diluluskan untuk seorang ahli akademi Indonesia di Kelantan.

Pengarah Islamic Renaissance Front (IRF), Datuk Dr Ahmad Farouk Musa menggambarkan kajian itu tahyul dan tidak saintifik.

Geran itu untuk projek penyelidikan yang diketuai Yohan Kurniawan di Universiti Malaysia Kelantan, menggunakan peralatan elektronik yang dikatakan boleh mengesan makhluk halus dalam tubuh manusia.

Prof Ahmad Fauzi berkata: “Tujuan penyelidikan di peringkat universiti mestilah untuk memperbaik kehidupan manusia dalam pelbagai bidang. Semua permohonan geran penyelidikan diperiksa. Bagaimana geran ini diwajarkan?”

Dr Ahmad Farouk terkejut dana itu disediakan melalui Skim Geran Penyelidikan Fundamental (FGRS) oleh Kementerian Pendidikan.

“Pada masa sains semakin maju pada abad ke-21, nampaknya kita sedang kembali ke dalam Zaman Pertengahan,” katanya.

Malaysia akan ditertawakan oleh dunia sains jika kajian itu mendapat liputan media antarabangsa.

“Adakah penyelidikan jenis ini dapat menyumbang kepada pengetahuan sains? Atas dasar apa ahli jawatankuasa FGRS membuat keputusan untuk membiayai penyelidikan anti sains ini?”

Skim geran itu disediakan untuk membantu penyelidik dalam bidang sains tulen dan sains gunaan, kejuruteraan, teknologi, kesihatan dan sains sosial, seni dan kemanusiaan dan warisan negara.

Ahmad Farouk, seorang penyelidik di Universiti Monash Malaysia, menggesa kerajaan baru, khususnya Menteri Pendidikan Maszlee Malik meneliti bagaimana kajian tidak saintifik itu boleh mendapat pembiayaan dan memperketatkan prosesnya.

Beliau berkata profil penyelidik itu mendedahkan rekod prestasi yang tidak menonjol, dan kajian dulu diterbitkan dalam jurnal atau majalah yang dipandang rendah, bukannya jurnal sains antarabangsa yang bereputasi baik.

“Kalau ini satu-satunya rekod pencapaian yang dia dapat tunjukkan, FRGS yang meluluskan pemberian itu patut dipersalahkan. Semasa memeriksa permohonan geran, FGRS mesti melihat teliti rekod pemohon dan antara termasuk penerbitan-penerbitan dalam jurnal sains yang bereputasi baik,” kata Ahmad.

Sebelum ini, Berita Harian melaporkan Yohan mendakwa dia dapat mengesan makhluk halus dalam 10 orang.

Beliau berkata mesin yang dibeli pada harga RM15,000 dari Amerika Syarikat itu, yang mengesan perubahan cas elektrik pada seseorang, boleh menghasilkan keputusan dengan ketepatan antara 80% hingga 90%.

Beliau berkata perubahan dapat dikesan apabila responden menerima rawatan Islam seperti didengarkan bacaan ayat-ayat Al-Quran.

Menurut laporan itu, Yohan berkata penyelidikannya dilaksanakan sejak 2 tahun lalu.

Tiada ulasan: