HALAMAN SANTAI

Selasa, 31 Julai 2018

3 perkara dipersetujui Mohd Asri, Ramasamy

MALAYSIAKINI

 


Pertemuan antara Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy semalam bersetuju agar majlis keharmonian agama dan kaum diwujudkan.

Mohd Asri yang berkongsi hasil pertemuan itu menjelaskan bahawa platform berkenaan akan membolehkan tokoh-tokoh pelbagai agama bertemu dan berunding.

"Satu platform yang membolehkan tokoh-tokoh pelbagai agama bertemu dan berunding dalam isu-isu yang membabitkan keharmonian antara agama dan kaum perlu diwujudkan.

"Semua pihak jangan menimbulkan sebarang provokasi yang boleh menegangkan hubungan antara penganut agama dan kaum.

"Bawa ke meja rundingan terlebih dahulu. Saluran melalui platform tersebut diharapkan dapat membantu ke arah Malaysia yang lebih harmoni dan damai," katanya melalui kenyataan di Facebook, semalam.

Selain itu, dalam pertemuan yang diatur Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof itu, beliau dan Ramasamy juga bersetuju bahawa isu berhubung Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) merupakan isu keselamatan negara dan bukannya isu peribadi dua pemimpin berkenaan.

"Pertemuan tadi bukan platform penentu siapa yang sabit atau siapa yang dibersihkan. Hak penentu dalam isu LTTE ialah pihak polis.

"Kita membiarkan hal itu di bawah siasatan polis. Kita menunggu kenyataan polis. Maka, pertemuan tersebut tidak membincangkan tentang status LTTE dan orang yang terlibat dengannya. Kita serah dan menanti siasatan polis," katanya.

Perkara ketiga yang dipersetujui Mohd Asri dan Ramasamy adalah agar isu melibatkan penceramah kontroversi Zakir Naik tidak lagi dibangkitkan dan menyerahkannya kepada kerajaan.

"Tidak perlu dibangkitkan lagi. Apa yang penting, semua penceramah dari semua agama hendaklah mengikut peraturan negara dan tidak menimbulkan apa-apa konflik antara penganut agama dan kaum," katanya.

Sebelum ini Ramasamy mengkritik Putrajaya kerana enggan mengekstradisi Zakir yang dikehendaki pihak berkuasa India atas beberapa dakwaan termasuk terlibat aktiviti keganasan dan mencetuskan kebencian antara kaum.

Susulan itu, timbul dakwaan yang mempersoalkan sama ada Ramasamy sendiri terlibat dengan aktiviti keganasan melalui LTTE.

Mohd Asri kemudian menggesa agar pemimpin DAP itu menyatakan pendirian berhubung perkara berkenaan.

Bagaimanapun anggota dewan undangan negeri Perai itu menafikan dakwaan berkenaan dan menjelaskan penyertaannya dalam misi keamanan melibatkan LTTE adalah pada masa sama ketika beliau menyertai misi keamanan di Aceh sekitar 2003 dan 2006.


Tiada ulasan: