HALAMAN SANTAI

Jumaat, 27 Julai 2018

Khazanah, Petronas, PNB dicadang diletak bawah JPM

MALAYSIAKINI

   
KEMASKINI | Terdapat cadangan agar syarikat berkaitan kerajaan (GLC) iaitu Khazanah Nasional, Petronas dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Bagaimanapun, tidak jelas setakat mana Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan mengawasi GLC berkenaan yang sebelum ini diletakkan di bawah Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

Berdasarkan senarai yang dilihat Malaysiakini, GLC terbabit akan diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri, yang bermaksud bahawa menterinya boleh mengawasi firma-firma berkenaan.

Namun The Star melaporkan bahawa ketiga-tiga GLC itu akan ditempatkan di bawah Pejabat Perdana Menteri, yang secara langsung berada di bawah kawalan Mahathir.

Malaysiakini difahamkan rombakan ke atas kawalan GLC dan agensi kerajaan terbabit belum lagi muktamad kerana perubahan berkenaan tidak dipersetujui beberapa pihak dalam kementerian.

Apa yang jelas, Khazanah, Petronas dan PNB tidak mungkin diletakkan di bawah pengawasan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Azmin Ali, yang sepatutnya mengambil alih syarikat-syarikat MOF, seperti yang dijangkakan sebelum ini.

Azmin, bagaimanapun kelihatan bersedia untuk mengawal agensi yang sebelum ini berada di bawah Jabatan Perdana Menteri iaitu Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Felda.

Mahathir pada awal bulan ini mengatakan Khazanah telah menyimpang daripada objektifnya untuk memperkayakan bumiputera dengan memperkayakan diri sendiri.


Beliau juga pernah menjadi penasihat Petronas sebelum dipecat pada tahun 2016 apabila berlaku persaingan dengan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

Peranan kementerian kewangan dikurangkan?

Pakatan Harapan (HARAPAN) dalam manifesto pilihan rayanya menegaskan bahawa perdana menteri tidak akan memegang portfolio lain, terutama Kementerian Kewangan.

Ini bertujuan menghalang rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang didakwa HARAPAN berlaku ketika Najib memegang portfolio kewangan.

Dalam tempoh dua minggu lalu, persoalan juga timbul sama ada portfolio Kementerian Kewangan akan dikurangkan selepas Mahathir menjawab soalan bagi pihak kementerian itu di parlimen minggu lepas.

Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong juga mendakwa Kementerian Hal Ehwal Ekonomi kini lebih berkuasa daripada Kementerian Kewangan.

Azmin dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bagaimanapun menafikan dakwaan itu.

Sementara itu, The Star melaporkan bahawa terdapat rancangan untuk membubarkan MOF Inc.

Jika ini berlaku, ia mungkin mempunyai implikasi yang serius kerana MOF Inc adalah pemegang saham utama dalam banyak syarikat.


Tiada ulasan: