“PAS tidak berhak untuk
menuntut royalti,” Itu kata Pengerusi PKR Terengganu Azan Ismail. Jadi
ramai tertanya-tanya apakah PAS memang tidak berhak. Jadi tulisan kali
ini untuk memberikan pemahaman jelas mengenai hak royalti.
Ketika perjanjian Persekutuan Tanah
Melayu ditandatangani pada 31 Januari 1948 di antara wakil-wakil
pemerintah Negeri-Negeri Selat, Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan
Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu, telah dipersetujui bidang kuasa
negeri ditetapkan dalam lingkungan tiga batu nautika dari pesisiran
pantai negeri. Seksyen 4 Ordinan Darurat 1969 turut mendefinisikan
kawasan jajahan negeri sebagai hanya tiga batu nautika dari pesisiran
pantai, tertakluk kepada beberapa pengecualian termasuklah negeri-negeri
baru Sabah dan Sarawak.
Kemudian pada tahun 1973, ketika krisis
minyak dunia, Malaysia menubuhkan Petronas dan memperkenalkan Akta
Pembangunan Petroleum 1974 (PDA). Dalam Seksyen 2 PDA 1974, Petronas
diberikan mandat “pemilikan penuh ke atas petroleum yang terdapat di
darat dan pesisir pantai Malaysia”, termasuklah hak eksklusif, kuasa,
kebebasan dan keistimewaan dalam meneroka, memanipulasi, memenangi dan
memperolehi kawasan-kawasan ini. Manakala Seksyen 4 PDA 1974, Petronas
hendaklah membuat pembayaran kepada Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri
pemunya asset itu.
Bersama PDA 1974 ialah 13 perjanjian lagi yang dikenali sebagai Assignments Deeds dan Vesting Grants.
Kedua-duanya ditandatangani secara berasingan di antara 13 kerajaan
negeri dan kerajaan pusat sekitar tahun 1975 dan 1976. Kesemuanya
memberikan hak kepada Petronas untuk ‘petroleum yang berada di darat
atau pesisir pantai Malaysia’, dengan pulangan wang tunai secara tahunan
bersamaan dengan nilai 5% petroleum yang dikeluarkan.
Petroleum ditemui di pesisiran pantai
Terengganu pada tahun 1973. Sejak itu, Terengganu telah menerima royalti
berjumlah RM7.13 bilion menerusi PDA. Namun pada tahun 2000 ketika PAS
memerintah Terengganu, wang royalti kepada Kerajaan Negeri dihentikan.
Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir menghentikan pembayaran
royalti., dan menggantikan dengan Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP).
Perkara ini diakui beliau di dalam buku biografinya “The Doctor In The House”. Beliau menulis “Terengganu
was and is the biggest producer of oil in Malaysia and 5% of that
revenue, worth almost RM1 billion a year, went to the state government.
We knew that if the new PAS state government were to gain access to the
money, they would likely use it to enhance their popularity and promote
their cause”. Bermaksud “Terengganu merupakan pengeluar terbesar
minyak di Malaysia dan 5% dari pendapatan itu, bernilai hampir RM 1
billion setahun, diperolehi Kerajaan Negeri. Kita yakin sekiranya
Kerajaan Negeri baru dibawah PAS memperolehi dana itu, mereka akan
menggunakanya untuk menaikkan popularity mereka dan mempromosikan
perjuangan mereka.” Alasan yang diberikan Kerajaan Persekutuan adalah
Kerajaan Negeri tidak berhak mendapat royalti disebabkan telaga minyak
berada diluar 3 batu nautika daripada persisir pantai Terengganu.
Berikutan itu, Kerajaan Negeri PAS Terengganu telah memfailkan saman
keatas Petronas dan Kerajaan Persekutuan dimahkamah, namun ia ditarik
balik oleh Kerajaan Negeri Terengganu selepas Barisan Nasional memenangi
Negeri Terengganu pada PRU 12.
Petroleum hanya ditemui di Kelantan pada tahun 90-an ketika PAS sudahpun memerintah Kelantan. PDA dan Vesting Grant serta Assignment Deed
tidak pernah dipersoalkan sebelum itu. Bagi pengeluaran minyak dan gas
dari kawasan ini, yang dikenali dengan nama blok PM2, PM301, Perjanjian
Perkongsian Pembangunan Malaysia-Thailand (MTJDA) dan PM3 CAA
Malaysia-Vietnam, kerajaan pusat telah menerima bahagian royaltinya
sebanyak 5 peratus, berjumlah RM4.59 bilion. Secara teorinya, jumlah
yang sama juga wajar diterima oleh Kelantan (juga lima peratus
peruntukan royalti). Malangnya, tidak sesen pun yang diterima oleh
negeri terbabit. Lebih teruk lagi, Kelantan tidak langsung merasai
limpahan manfaat daripada pembangunan ekonomi dalam bentuk aktiviti,
tapak pengeluaran, pemprosesan dan pengangkutan hasil gas dan minyak.
Kerajaan Persekutuan menggunakan hujah yang sama untuk menafikan royalti
kepada Kelantan iaitu, minyak ditemui di luar jajahan Kelantan. Pada
Ogos 2010, Kerajaan Negeri Kelantan telah mengambil tindakan mahkamah ke
atas Petronas di atas kegagalan syarikat terbabit membayar royalti
kepada kerajaan negeri. Kerajaan Pusat bertindak balas dengan membentuk
panel khas penyiasatan yang masih belum mengeluarkan keputusannya.
Walaupun kedua-dua kes ini mempunyai
alasan teknikal perundangan, namun apa yang jelas tekanan politik kepada
negeri yang diperintah PAS mengatasi segalanya. Jelas Perlembagaan
Persekutuan hanya mendefinisikan sempadan maritim. Manakala dokumen lain
seperti PDA 1974 dan perjanjian Petronas – Kerajaan Negeri merupakan
rujukan bagi menafsirkan hak pemilikan asset petroleum. Persoalan mudah,
sekiranya takrif 3 batu nautika dalam Perlembagaan Persekutuan
digunapakai, maka kenapa perlu ada perjanjian lain ditandatangani? Malah
Pahang yang baru menemui minyak di Kawasan Bertam PM307 dijanjikan
royalti walaupun jaraknya 86.3 batu nautika.
Pakatan Harapan di dalam janji pilihan
raya, menjanjikan negeri-negeri pengeluar minyak dan gas akan diberi
royalti yang sewajarnya. Kezaliman Umno dan Barisan Nasional yang
memberi dana berdasarkan perkiraan politik akan dihentikan. Kerajaan
Pakatan Harapan juga akan menambah jumlah royalti petroleum kepada Sabah
dan Sarawak, serta negeri-negeri pengeluar petroleum yang lain, kepada
20 peratus atau nilai yang bersamaan, sebagai salah satu langkah
pembahagian hasil petroleum yang lebih adil. Ini akan membolehkan
negeri-negeri berkenaan mengambil alih lebih banyak tanggungjawab
perbelanjaan pembangunan di peringkat negeri. Apakah mereka akan
menunaikan janji mereka menjadi tanda tanya. Sudah tentu rakyat di
negeri Kelantan dan Terengganu memerhatikan perkembangan ini.
*Nurul Islam Mohamed Yusoff,
Pengarah Pilihan raya DPPM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan