KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO Setiawangsa hari ini membuat
satu laporan polis terhadap seorang wanita dan beberapa individu lain
berhubung kenyataan di laman media sosial Facebook yang boleh
memecahbelahkan keharmonian dan perpaduan kaum di negara ini.
Naib Ketuanya, Fadzmel Fadzil berkata, ia tidak wajar
dilakukan kerana menyentuh sensitiviti kaum dan agama malah dilihat
mampu menimbulkan kemarahan khususnya orang Islam.
“Tindakan hari ini bukan langkah mencetus ketegangan
kaum namun ia hanya untuk memastikan mana-mana pihak tanpa mengira
bangsa atau agama tidak boleh sesekali mengeluarkan kenyataan provokatif
seperti ini.
“Ini kerana ia hanya akan menjurus kepada kemudaratan
perpaduan yang kita telah nikmati selama ini,” katanya dalam satu
kenyataan, hari ini.
Semalam Honda Malaysia dalam satu kenyataan di Facebook
mengucapkan takziah kepada keluarga dan rakan anggota bomba, Allahyarham
Muhammad Adib yang meninggal dunia, pada Isnin.
Honda Malaysia juga memohon maaf di atas tindakan biadab
salah seorang kakitangannya kerana mengeluarkan kenyataan biadab
terhadap wira bomba itu dengan menyalahkan tuhan kerana gagal
menyelamatkannya.
Muhammad Adib disahkan meninggal dunia pada pukul 9.41
malam pada Isnin di Institut Jantung Negara (IJN) selepas bertarung
selama tiga minggu.
Allahyarham cedera parah akibat dibelasah dalam kejadian
rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ25, Subang Jaya pada 27
November lalu.
Fadzmel juga menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan
tegas terhadap individu terbabit walaupun ada di antara mereka telah
dikenakan tindakan penggantungan kerja oleh majikannya.
“Dengan langkah ini juga kami berharap ia dapat
dijadikan pengajaran kepada mana-mana individu yang ingin lakukan
perkara sama di masa akan datang,” katanya.
Katanya lagi, orang ramai digesa melaporkan sebarang
tindakan seumpama itu kepada pihak polis bagi menggelakkan perkara sama
berulang.
“Kami, seperti majoriti rakyat cintakan Malaysia yang
aman dan negara makmur lahir dari kesepaduan hubungan antara kaum serta
agama.
“Jangan hanya dengan provokasi sebegini ia akhirnya mencetus ketegangan sesama kita. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan