HALAMAN SANTAI

Isnin, 3 Disember 2018

Isu kuil Seafield akan ‘selesai’ dalam 2 minggu, kata MB Selangor




SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata isu Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya akan selesai dalam masa 2 minggu, jika semua pihak terlibat bertolak ansur.

Beliau mendedahkan pihaknya sudah melakukan 2, 3 pertemuan dengan pihak-pihak berkepentingan.
“Saya anggarkan 1 minggu, 2 minggu kita boleh dapatkan kata putus kalau semua pihak bertolak ansur,” katanya kepada pemberita di ruang legar Dewan Negeri Selangor hari ini.

Terdahulu, media melaporkan pemaju tidak akan mengambil sebarang langkah sehingga permohonan injunksi penuh oleh penganut Hindu kuil tersebut yang akan didengari pada 11 Januari tahun depan diputuskan.

Kuil berkenaan dijadualkan berpindah pada 22 November berikutan penyelesaian mahkamah melibatkan pemaju, One City Development Sdn Bhd, kerajaan Selangor dan 2 penuntut terhadap pentadbiran kuil, K Chellapa dan M Nagaraju.

Bagaimanapun satu kumpulan dalam kalangan penganut di kuil berkenaan berkeras mahu ia dikekalkan di tapak sedia ada, dan tidak dipindahkan ke tapak baru 3km dari situ, walaupun selepas bersetuju berbuat demikian dalam satu penghakiman persetujuan di Mahkamah Tinggi pada 2014.

Had waktu operasi premis hiburan

Sementara itu, Amirudin turut ditanya adakah Selangor akan mengikut langkah Kuala Lumpur mengehadkan waktu operasi semua premis hiburan sehingga 1.00 pagi.

Amirudin berkata kerajaan negeri akan menilai kesesuaian dasar itu, antaranya berdasarkan kawasan dan penduduk.

“Sebelum ini pernah dihadkan sampai 3.00 pagi dan secara asasnya kawasan tersebut jauh daripada penduduk dan sebagainya,” katanya.

“Saya akan membawakan perkara ini dalam mesyurat exco minggu depan atau minggu satu lagi dan minta untuk dibincangkan,” katanya.

Dalam pada itu, Amirudin berkata pihaknya akan mengemukakan nama calon bagi jawatan exco hal ehwal Islam, pendidikan dan pembangunan modal insan kepada Istana Selangor akhir bulan ini.

“Saya harus mengemukakan kepada Sultan Selangor dalam tempoh yang terdekat,” katanya.

Jawatan tersebut kosong selepas penyandangnya Prof Shaharuddin Badaruddin meninggal dunia 2 Ogos lalu.

Tiada ulasan: