THE MALAYSIAN TIMES
KUALA LUMPUR: Kerajaan telah menubuhkan satu jawatankuasa khas di peringkat Kementerian Belia dan Sukan bagi meneliti dan memperhalusi cadangan hak mengundi diturunkan kepada umur 18 tahun.
Timbalan Menteri Steven Sim Chee Keong berkata mesyuarat pertama telah diadakan pada 13 Nov lepas dengan keanggotaan jawatankuasa terdiri daripada pemimpin-pemimpin sayap, pemuda-pemudi dan parti-parti politik termasuk parti pembangkang.
“Saya nampak senarai kehadiran pada mesyuarat pertama itu adanya wakil daripada sayap Pemuda UMNO juga turut hadir, jadi saya ucapkan syabas.
“Saya minta kerjasama semua ahli-ahli yang berhormat ini dan parti politik di luar sana untuk kita sama-sama menjayakan dasar undi 18 tahun yang saya anggap sebagai satu dasar yang progresif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Khairy Jamaluddin Abu Bakar (BN-Rembau) yang meminta beliau menyatakan langkah-langkah pendidikan dan pendedahan bagi generasi muda terutamanya melibatkan soal politik, perlembagaan, demokrasi, sivik dan sebagainya dalam usaha itu.
Sim berkata masyarakat juga tidak perlu bimbang dengan faktor kematangan yang dlihat dinamik pada semua peringkat umur.
“Ada yang tidak matang pada umur 18 tahun tetapi ada juga yang tidak matang pada umur 40-an, 50-an. Jadi saya rasa inilah masa yang sesuai dan saya jemput dan percaya ada antara anggota Parlimen yang menyokong dapat memberi pandangan,” katanya.– Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan