MEDAN BERITA POLITIK : KE ARAH BERFIKIR, MENGINSAFI DAN BERTINDAK
HALAMAN SANTAI
Rabu, 19 Disember 2018
Kes Muhammad Adib…kenapa orang Melayu marah?
Syahril A. KadirJenazah
Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim diusung oleh anggota Bomba dan
ahli keluarga untuk proses pengkebumian di Tanah Perkuburan Masjid
As-Saadah, Kuala Kedah, Kedah. foto AFIQ RAZALI
ALLAHYARHAM Muhammad Adib Mohd Kassim telah selamat dikebumikan di
Tanah Perkuburan Masjid As-Saadah, Kuala Kedah menjelang waktu Zohor
petang semalam.
Namun perasaan marah orang Melayu dengan kematian anggota bomba
berusia 24 tahun ini masih membara. Ini boleh dilihat melalui reaksi di
media sosial dan perbualan di kedai-kedai kopi.
Dan jika ada pihak berpendapat ‘kemarahan’ orang Melayu hanya tertumpu pada satu-satu kaum saja, ternyata ia salah!
Sebenarnya kemarahan orang Melayu dalam isu rusuhan berhampiran Kuil
Sri Maha Mariamman di USJ 25, Putra Heights pada 26 November lalu
bermula bila kira-kira 50 lelaki Melayu sendiri yang bertindak
menceroboh kuil berkenaan pada pagi tersebut.
Untuk rekod, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin
mendedahkan siasatan polis mendapati syarikat pemaju yang memiliki tanah
tapak itu, telah mengupah sekumpulan lelaki Melayu untuk menceroboh
kuil itu bagi tujuan mengawalnya sebelum ketibaan pihak pemaju dan
polis.
Beliau juga mendedahkan bahawa siasatan polis mendapati sebanyak
RM150,000 telah diserahkan kepada ketua kumpulan tersebut untuk
melakukan kerja menceroboh, mengambil alih dan mengawal kuil berkenaan.
Seperti mana kaum lain di Malaysia, orang Melayu juga tidak dapat
menerima bila ada anak bangsa mereka yang bertindak menceroboh rumah
ibadat kaum lain, apatah lagi bila mendapat tahu ia hanya disebabkan
untuk mendapat upah semata-mata!
Seperti mana kaum lain, orang Melayu tidak pernah percaya keganasan
adalah solusi terbaik untuk mencari penyelesaian sesuatu konflik.
Sebab itu selain peristiwa 13 Mei 1969, belum terjadi satu insiden seumpamanya yang berlaku di negara kita.
Namun kemuncak isu Kuil Sri Maha Mariamman ini apabila Muhammad Adib telah dibelasah dengan begitu teruk di lokasi berkenaan.
Di sini kemarahan orang Melayu kembali membara. Ia diburukkan dengan sikap Badan Bertindak Kuil Sri Maha Mariamman selepas itu.
Ini kerana di saat semua pihak sepatutnya menyerahkan pada
kebijaksanaan pihak polis untuk menjalankan siasatan itu, mereka telah
membuat satu sidang akhbar dengan mendakwa kecederaan yang dialami
Muhammad Adib dalam insiden kekecohan itu adalah disebabkan oleh
kemalangan jalan raya! Ahli
Jawatankuasa Bertindak Kuil Sri Maha Mariamman, VK Regu bercakap pada
sidang media berkaitan insiden yang terjadi di Kuil Sri Maha Mariamman
Seafield, Subang Jaya, Selangor. foto AFIQ RAZALI,
Setiausahanya, VK Regu berkata, kejadian itu dipercayai berlaku
apabila jentera milik JBPM cuba untuk mengundurkan kenderaannya sebelum
melanggar mangsa terlibat.
Ujarnya, apabila JBPM cuba untuk ke depan, terdapat kenderaan yang
terbakar dan mereka terus mengundurkan jentera kerana bimbang berlaku
letupan.
Tegasnya, tanpa disedari terdapat anggota di belakang kenderaan itu dan jentera itu telah melanggar mangsa berkenaan.
Sama ada betul atau tidak dakwaan itu, sepatutnya badan bertindak
kuil itu tidak perlu masuk campur dalam siasatan tersebut kerana mereka
bukanlah pihak yang layak untuk memperkatakannya.
Jika mereka ikhlas untuk membantu pihak berkuasa bagi mencari
keadilan buat Muhammad Adib, mereka seharusnya menyerahkan segala bukti
atau maklumat yang mereka peroleh kepada PDRM dan bukan membuat
‘andaian’ berdasarkan apa yang mereka ‘dengar, lihat dan percaya’.
Akhirnya kemarahan orang Melayu dengan badan bertindak kuil tersebut
ternyata berasas apabila Ketua Polis Negara sendiri, Tan Sri Mohamad
Fuzi Harun sendiri menyangkal dakwaan yang dibuat Regu dan juak-juaknya
Dalam sidang akhbarnya, Fuzi berkata, perkara itu juga sudah
dijelaskan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk
Mohamad Hamdan Wahid.
“Maklumat itu tidak benar, kita dah kenal pasti pihak yang buat
dakwaan. Mangsa memang dipukul, bukan dilanggar dan kita masih buru
mereka yang bertanggungjawab atas kejadian itu,” katanya.
Akhir sekali, perasaan marah orang Melayu terkait sekali dengan
tindak tanduk Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy
dalam insiden itu.
Kenyataan bertulis empat orang Menteri diketuai Waytha Moorthy yang
mendakwa polis gagal menangani insiden rusuhan pada malam pertama, telah
membangkitkan kemarahan ramai hingga mencederakan dan seterusnya
menyebabkan kematian anggota bomba yang tidak berdosa itu. Menteri
Sumber Manusia, M. Kulasegaran bersama Menteri di Jabatan Perdana
Menteri (Perpaduan), Waytha Moorthy ketika hadir bagi meninjau situasi
mengenai insiden rusuhan yang berlaku di Kuil Sri Maha Mariamman
Seafield, Subang Jaya, Selangor. foto AFIQ RAZALI
Terbaru, tindakannya yang menjadikan foto Muhammad Adib sebagai
gambar profile di Facebook bagaikan telah ‘menyimbah minyak pada api
yang sedang membakar’.
Untuk rekod, Waytha Moorthy juga sebelum ini telah memfitnah dan
mengaibkan Malaysia di luar negara seperti mana yang tersiar dalam
sebuah klip video yang tular di media sosial.
Video berdurasi 2 minit 39 saat itu menunjukkan Waytha Moorthy
membuat kenyataan menerusi wawancara dengan sebuah rancangan televisyen
luar negara dengan menuduh Malaysia yang dikuasai Melayu Islam menindas
penganut Hindu dan masyarakat India.
Waytha Moorthy mendakwa, rakyat Malaysia yang beragama Hindu kononnya
telah didiskriminasi kerana perlu memeluk Islam jika mahu mendapatkan
pekerjaan dalam sektor-sektor awam serta rumah-rumah ibadat mereka telah
dirobohkan sesuka hati oleh pihak-pihak berkuasa di Malaysia.
Dengan segala faktor di atas, sudah tentu ia mengguris perasaan dan menyebabkan orang Melayu menjadi marah.
Bezanya, sehingga kini orang Melayu masih rasional kerana seperti
yang kita tahu, tindak tanduk VK Regu, Waytha Moorthy dan
perusuh-perusuh ini bukanlah mewakili masyarakat India secara
keseluruhannya.
Seperti mana kaum Melayu, India, Cina dan lain-lain rakyat di negara
ini, majoriti daripada kita tetap cintakan keamanan dan menolak sebarang
bentuk provokasi serta keganasan.
Ya, orang Melayu memang marah apatah lagi bila anak bangsa mereka
yang tidak berdosa menjadi mangsa kebinatangan individu yang tidak
bertanggungjawab.
Namun secara prinsipnya kemarahan ini ‘masih terkawal’ tetapi jika
perkara sebegini berlaku lagi di masa akan datang, tak siapa dapat
menjangka apa yang bakal berlaku.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan