PULASAN | Kalau mengikut kelaziman politik moden, lepaslah 100 hari. Tapi belumlah mencapai 200 hari.
Pada 1 Julai itulah Ahmad Zahid mengumumkan gagasannya untuk merombak semula Umno selepas parti itu terduduk teruk ditolak rakyat yang mengundi pada 9 Mei 2018.
Ahmad Zahid juga mengumumkan rancangannya menjenamakan semula BN. Berbanding Umno, BN itulah yang lebih parah sakit dan lukanya dalam pilihan raya umum (PRU) berkenaan.
Lihat saja pencapaian parti komponen BN selepas PRU ke-14. Apa jadi kepada MCA dan MIC?
Gerakan, tak usah ceritalah.
Zahid - yang masih mempunyai kerusi di Dewan Rakyat - menghulurkan 'baton kuasa' untuk mengemudi Umno kepada Mohamad yang kini tidak lagi mempunyai sebarang kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan.
Antara Zahid dan Mohamad
Pedulilah apa istilah yang digunakan untuk menjelaskan peralihan kuasa berkenaan, sama ada bercuti, berundur atau mengambil jalan tengah.
Itu adalah bahasa politik dan diplomasi bagi menjaga air muka daripada diketawa musuh. Suka atau tidak, begitulah.
Dan suka atau tidak juga, secara umum Mohamad lebih diyakini untuk mengemudi Umno berbanding Ahmad Zahid. Tolak ke tepilah seketika faktor bagaimana bakat pengucapan awam kedua-dua tokoh itu. Mohamad tetap lebih kelihatan berwibawa berbanding Ahmad Zahid.

Kesedihan dan cuak itu pula bukan saja dialami oleh orang Umno. 'Kawan baru Umno' versi Ahmad Zahid juga sedikit sebanyak akan tersentuh nalurinya.
Baca Sakralnya Umno
Selama
ini Ahmad Zahidlah yang memberikan harapan buat PAS. Selain Ahmad
Zahid, cuma Annuar Musa, Ismail Sabri Yaakob, Shamsul Anuar Nasarah yang
ketara menari seirama dengan bekas timbalan perdana menteri itu.
Oh, jangan lupa Lokman Noor Adam juga.

PAS pula - melalui presidennya Abdul Hadi Awang - boleh tahan liciknya. Dia tidak menyentuh atau mengulas langsung. Seolah-olah ayat Ahmad Zahid itu tidak dilafazkan langsung.
Satu lagi kemungkinan ialah, tahap kiasan dan mantiq Ahmad Zahid tidak cukup tinggi untuk dilayan Abdul Hadi. Maka ajakan Ahmad Zahid terbang dibawa angin sepoi-sepoi bahasa di sini dan sana.
Usah menampi padi
Kemudian bekas menteri besar Johor itu dihantar Ahmad Zahid untuk menjaga Perlis.
Ia adalah petanda yang baik kepada amalan politik yang baik.
Kalau padi katakan padi,
Tidak presiden tertampi-tampi;
Kalau benci katakan saja benci,
Barulah Zahid faham mengerti.
Menegur secara terbuka dan tidak berbasa-basi juga isyarat yang baik di bawah Malaysia Baru. Dan disambut dengan sikap yang baik juga oleh Ahmad Zahid.
Berundur selepas tahu ramai tidak meyakini kewibawaannya adalah petanda bahawa Ahmad Zahid berjiwa besar.
Bukan kemahuan ramai
Tapi ia perlu untuk menyelamatkan Umno. Bukanlah PAS yang boleh menyelamatkan Umno kerana PAS sendiri belum tentu selamat. PAS sendiri mungkin perlukan Umno untuk kekal selamat.
Pada masa sama Malaysia Baru memerlukan pembangkang yang kuat dan berprinsip. Melompat selepas kehilangan kuasa - dan sesetengahnya kelihatan menjilat lazat ludah sendiri - bukanlah suasana yang diidamkan rakyat yang celik politik.

Menarik untuk melihat bagaimana Mohamad menyusun semula Umno pasca-PRU ke-14. Misalnya, di mana beliau akan meletakkan orang seperti Khairy dan Mohamed Khaled selepas ini.
Tidak kurang seronoknya untuk dipandang ialah, di mana PAS nak meletakkan sikap mereka. Tapi biasalah, kadang-kadang langkah mereka sukar difahami. Semuanya kerana mantiq mereka yang sangat tinggi.
Mohamad tentu lebih lincah bersilat dengan PAS berbanding Ahmad Zahid.
Untuk rekod tarikh 18 Dis sebenarnya agak menarik juga. Ia adalah tarikh lahir Steven Spielberg seorang pemain perfileman yang hebat dan berpengaruh. Dia lahir 72 tahun lalu.
Kublai Khan juga secara rasmi menamakan semula empayarnya sebagai Yuan, dan bermulalah Dinasti Yuan pada 18 Dis 1271.
Tarikh 18 Dis juga diisytihar sebagai Hari Migran Antarabangsa. Sayu juga mengenangkan nasib Ahmad Zahid yang membuat pengumuman langkahnya itu pada hari dunia memperingati migran antarabangsa.
* AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini yang kadang-kadang mengah melihat cara politik sesetengah menteri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan