SEREMBAN . - Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menggesa MCA
supaya segera meninggalkan Barisan Nasional (BN) dan bukannya membuat
resolusi untuk membubarkan BN.
Tegasnya, MCA tidak seharusnya mengheret
parti komponen lain ke dalam polemik dalamannya dan keputusan
perwakilannya untuk membubarkan BN menunjukkan ia tidak mahu dilihat
meninggalkan BN sendirian dan dipersalahkan jika keputusan itu dianggap
langkah ke belakang dalam sistem demokrasi negara.
"Sebagai parti yang berprinsip, MCA harus lebih
tegas. Keluar sahaja dari BN seperti parti-parti lain yang telah
meninggalkan BN tanpa syarat. Keputusan sebegini akan memudahkan UMNO
dan parti komponen untuk membangunkan semula BN. Tindakan MCA tidak
memudahkan BN untuk ‘move on’. Ia telah menunda proses rejuvenasi BN.
"Saya
sangat berterima kasih jika MCA segera meninggalkan BN. Kita tidak
boleh punya rakan yang membebankan ketika kita berada dalam kedudukan
paling susut dalam perjalanan politik kita dan tidak mahu memikul
tanggungjawab atas kekalahan.
"Dalam politik,
yang dituntut ialah perjuangan yang bermaruah dan budaya politik yang
benar dan baik. Jika kemenangan sahaja ukuran untuk perjuangan politik,
maka itu adalah ‘perdagangan’ dan bukan perjuangan.
BN
bukan bahan dagang. Dalam baik dan lemahnya, BN adalah perjuangan untuk
sebuah Malaysia yang lebih baik," katanya dalam satu kenyataan, di sini
hari ini.
Mohamad berkata, parti komponen lain
iaitu UMNO, MIC, MyPPP dan PBRS telah menegaskan bahawa BN akan terus
menjadi platform yang dipertahan dan diperjuangkan serta percaya bahawa
sistem dua parti dalam arena politik Malaysia mesti diperkuatkan.
Ujar
beliau, cadangan MCA untuk menubuhkan gabungan baharu juga tidak akan
banyak bezanya dengan BN lebih-lebih lagi jika ia hanya dianggotai
parti-parti bukan dari Pakatan Harapan.
Beliau
berkata, mewujudkan semula satu gabungan parti baharu hanyalah perubahan
kosmetik dan BN memerlukan lebih daripada penjenamaan nama dan logo.
"Rakyat
Malaysia akan terus ingat segala kebaikan dan kekurangan, mahupun
kesalahan BN dan mereka juga tahu bahawa jalan sebaiknya adalah BN
menghadapi semua kelemahannya dan membaikinya dengan
bersungguh-sungguh," ujarnya.
Beliau mengingatkan
MCA bahawa BN adalah instrumen politik paling berjaya dalam
membangunkan Malaysia menjadi sebuah negara perdagangan, perindustrian
dan membangun paling berjaya dalam tempoh 60 tahun. - UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan:
Catat Ulasan