Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi menggesa Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat kematian anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.
Kata Ahmad Zahid, RCI itu perlu ditubuhkan bukan sahaja bagi menyiasat unsur jenayah dalam kematian Muhammad Adib, tetapi juga bagi menyiasat rusuhan kuil.
“RCI mesti ditubuhkan untuk siasatan menyeluruh terhadap kematian Muhammad Adib dan kejadian di kuil.
"Ia bukan sekadar siasatan jenayah tetapi juga kenyataan pembohongan oleh sekumpulan orang yang menggunakan agama untuk seleweng fakta. Keadilan untuk Muhammad Adib mesti ditegakkan," ciapnya di Twitter.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid tidak menyebutkan nama pihak yang dimaksudkannya.
Setelah hampir tiga minggu bertarung nyawa, Muhammad Adib meninggal dunia di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur, pada jam 9.41 malam, semalam.
Sebelum ini, pihak pengurusan kuil dalam satu sidang media mendakwa Muhammad Adib dilanggar lori bomba yang sedang berundur dan bukannya dipukul.
Ketua Pengarah Bomba Mohammad Hamdan Wahid bagaimanapun menafikan dakwaan itu.
Kementerian Dalam Negeri kemudian turut mengesahkan bahawa Muhammad Adib dipukul perusuh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan