
KUALA LUMPUR – Cadangan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) untuk menaikkan had umur bersara kepada 65 tahun tidak akan menyelesaikan masalah pengangguran dalam kalangan anak muda.
Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM), Ahmad Fadhli Shaari yang tidak bersetuju dengan cadangan itu berkata, masalah pengangguran semasa kini pada kadar 10.8 peratus, jauh lebih tinggi berbanding Singapura (4.6 peratus), Thailand (5.9 peratus), Vietnam (7.9 peratus) dan India (10.5 peratus).
Kata beliau, berdasarkan Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG), dianggarkan 238,187 siswazah menamatkan pengajian tahun 2018, tetapi 54,103 siswazah direkodkan masih menganggur.
“Kita tidak menolak keupayaan dan kepakaran seseorang pekerja diukur melalui pengalaman kerja dalam sesuatu bidang. Sebab itu, kita sarankan kerajaan memperhalusi semula cadangan meningkatkan had umur persaraan kepada bidang kritikal sahaja.
“Kerajaan tidak wajar membandingkan realiti negara ini dengan negara maju seperti Singapura yang telah melaksanakan had umur persaraan ini memandangkan negara itu terlebih dahulu melihat faktor seperti kadar kelahiran, pengambilan buruh asing dan kadar jangka hayat penduduknya,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Semalam, Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran dilaporkan berkata, kerajaan sedang meneliti saranan dikemukakan MTUC yang mencadangkan pemberian elaun kos sara hidup (COLA) bulanan kepada pekerja swasta serta meningkatkan had umur bersara kepada 65 tahun.
Menurut beliau, perbincangan perkara itu telah dijalankan bersama Kementerian Kewangan minggu lalu bagi mencari satu keputusan sebelum dibentangkan pada Belanjawan 2020 Oktober ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli berkata, bagaimana kerajaan Pakatan Harapan (PH) boleh melaksanakannya, sedangkan janji manifestonya untuk memberikan satu juta peluang pekerjaan kepada anak muda sehingga kini tidak memperlihatkan perkembangan positif.
Malah, katanya, statistik pengangguran semakin meningkat saban tahun.
“Anak muda telah dinafikan hak yang dijanjikan PH seperti PTPTN yang kini masih tidak menemui jalan penyelesaian. Oleh itu, kita menyeru kerajaan dan agensi terlibat untuk mengutamakan anak muda dalam meneliti cadangan ini.
“Cadangan ini tidak boleh dibuat secara tergopoh-gapah seperti manifesto satu juta peluang pekerjaan oleh PH memerlukan kajian mendalam,” katanya. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan