Tindakan Arab Saudi menggantung sementara pengeluaran
di dua loji minyak Aramco susulan serangan oleh pemberontak Yaman,
sudah pasti akan memberi kesan kepada harga minyak di seluruh dunia,
kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bagaimanapun, Perdana Menteri
berkata di Malaysia, kerajaan mengamalkan pemberian subsidi bagi
mengimbangi kenaikan harga tersebut.
"Kalau dia (Arab
Saudi) terpaksa henti pengeluaran minyak ditapis sebanyak sejuta tong,
sudah tentu beri kesan kepada harga minyak seluruh dunia.
"Tetapi
di Malaysia bila harga minyak naik, kita beri subsidi. Di United
Kingdom, kalau minyak naik, dia (kerajaan) naikkan cukai. Bagi dia,
orang dia tak merungut," katanya pada sidang media selepas menyaksikan
The Putrajaya Boat Race 2019, di Putrajaya hari ini.
Dr Mahathir
berkata demikian semasa ditanya sama ada kerajaan akan mengkaji semula
harga runcit petrol RON95 yang kini ditetapkan pada paras RM2.08 jika
berlaku kenaikan harga minyak dunia berikutan kejadian serangan itu.
Putera
Abdulaziz Salman, dalam kenyataan yang disiarkan agensi berita SPA
semalam, berkata Arab Saudi menggantung pengeluaran di dua loji minyak
Aramco yang diserang pemberontak Yaman.
Menteri Tenaga Arab Saudi
itu berkata serangan tersebut menyebabkan penggantungan sementara
pengeluaran di loji Abqaiq dan Khurais yang membawa kepada gangguan
kira-kira 50 peratus pengeluaran keseluruhan.
Aramco dalam
kenyataan berasingan menjelaskan serangan itu mengakibatkan
penggantungan pengeluaran 5.7 juta tong minyak mentah sehari.
Serangan
dron pemberontak Houthi ke atas Abqaiq dan Khurais, dua kemudahan utama
Aramco di timur Arab Saudi, adalah yang terbaharu dalam siri serangan
ke atas loji minyak negara itu sejak beberapa bulan ini.
Pemberontak
Houthi berkata, mereka melancarkan operasi berskala besar membabitkan
10 dron di kemudahan itu, lapor televisyen kumpulan itu, Al-Masirah.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan