WAWANCARA | Mufti Pulau
Pinang, Dr Wan Salim Mohd Noor mengambil pendirian lunak terhadap
penganut Syiah walaupun beberapa negeri memfatwakan golongan tersebut
sebagai ancaman terhadap umat Islam bermazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah di
Malaysia.
"Merujuk secara khusus kepada golongan Syiah - yang dianggap sebahagian agamawan di Malaysia sebagai ancaman kepada majoriti penganut Islam beraliran Sunni - rasanya pendekatan menerusi pendidikan adalah yang paling baik dan berkesan untuk mengatasi Syiah fobia ini," katanya.
Suatu hasil selidik mengenai fahaman ekstrem menunjukkan 66 peratus responden rakyat Malaysia beragama Islam mahu mazhab selain Ahli Sunnah Wal Jamaah diharamkan di Malaysia.
Bagaimanapun, Wan Salim
menyarankan Kementerian Pendidikan memasukkan fakta kefahaman mengenai
ajaran Syiah di dalam sukatan pelajaran pengajian Islam.
"Pendekatan yang digunakan hendaklah bersifat informatif bukan indoktrinatif dengan penekanan kepada keperluan bertoleransi terhadap perbezaan antara pelbagai aliran atau mazhab Islam.
"Untuk tujuan ini para guru yang terbabit hendaklah diberi kursus yang khas supaya dapat menyampaikan pengajaran yang berkesan kepada murid atau pelajar," katanya lagi.
"Lagi satu, penganut Syiah atau mana-mana agama lain harap jangan diselesaikan dengan keganasan tapi dengan penuh professional," jelasnya.
Mufti Pulau Pinang mengulas penangkapan penganut Syiah, termasuk warga negara asing di Johor dan Selangor.
Beliau
juga berkata adalah lebih baik bagi pengikut Syiah untuk menjalankan
majlis mereka secara persendirian dan tertutup supaya tidak menarik
perhatian pihak yang kurang pengetahuan dan pemahaman terhadap sistem
kepercayaan mereka.
Ditahan jabatan agama
Majlis
tersebut bersempena sambutan hari Asyura, iaitu mengingati ulang tahun
kematian Hussein Ali, iaitu cucu kepada Nabi Muhammad SAW.
Mereka dipercayai disiasat di bawah Seksyen 9 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor, iaitu melanggar titah sultan, dan arahan mufti serta fatwa.
Peruntukan itu membawa hukuman maksimum denda RM3,000 dan penjara setahun.
Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) pada 7 September pula menahan lebih 20 individu termasuk wanita dan kanak-kanak yang disyaki pengikut Syiah dalam serbuan di Gombak malam tadi.
Individu-individu berkenaan dikatakan berkumpul di sebuah rumah kedai bagi memperingati Pertempuran Karbala menjelang Hari Ashura yang jatuh pada 9 September.
Menjelaskan lanjut isu ini, Wan Salim (gambar) berkata pada era globalisasi masyarakat antarabangsa mengambil pendekatan yang lebih terbuka dan bertoleransi terhadap kemajmukan pandangan dan kepercayaan.
"Dalam era globalisasi masyarakat antarabangsa perlu lebih bertoleransi dan bersikap lebih terbuka terhadap kepelbagaian aliran pemikiran dan pegangan agama.
"Pada masa kini kita dapati semakin banyak negara di dunia ini yang dihuni oleh penduduk yang terdiri daripada pelbagai etnik yang menganut agama dan budaya yang berbeza.
"Fenomena baru ini perlu diurus dengan bijaksana oleh para pemimpin negara-negara berkenaan supaya hubungan yang baik dan harmoni antara kesemua kaum dapat dikekalkan tanpa digugat oleh ketegangan yang mungkin akan menjurus kepada keadaan yang merugikan semua pihak," jelas mufti itu lagi.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada Disember 2013 memaklumkan semua ajaran mahupun fahaman Syiah di Malaysia adalah menyeleweng daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Fatwa Syiah bercanggah syarak
Bagaimanapun, Deklarasi Amman yang diisytihar Raja Jordan Raja Abdullah II Al Hussein dan disepakati oleh 552 pemimpin negara Islam, ulama serta cendekiawan pada November 2004 mengesahkan kesahihan semua lapan mazhab dalam Sunni, Syiah dan Ibadi Islam; teologi Islam (Ash'ari); tasauf Islam (sufi), dan aliran Salafi tulin, serta merumuskan takrif tepat mengenai siapa itu Muslim.
Berdasarkan takrif tersebut, mereka melarang sebarang tindakan mengkafirkan sesama kaum Muslim.
Deklarasi berkenaan diperakui oleh lapan wakil kepimpinan kerajaan dan ilmwuan Malaysia, termasuk bekas perdana menteri Abdullah Badawi yang hadir pada persidangan tersebut.
Untuk rekod, sejak 1973, telah sebelas kali penganut Syiah dari Iran dan Iraq dinobatkan sebagai johan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan