HALAMAN SANTAI

Rabu, 18 September 2019

Sekolah ditutup ikut bacaan IPU

Mohammad Arif Nizam
MG180919_PELANCARAN-KERANGKA-DASAR-LUAR-MALAYSIA-BAHARU05-1
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad diiringi Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya (kanan) menunjukkan buku Kerangka Dasar Luar Malaysia Baharu pada Pelancaran Kerangka Dasar Luar Malaysia Baharu di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK
 

PUTRAJAYA – Penutupan beberapa sekolah ekoran jerebu yang melanda beberapa kawasan ketika ini berdasarkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU).

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan, kerajaan tidak melihat terdapat keperluan untuk menutup terus sekolah di kawasan terbabit sehingga Jumaat ini.

Menurut beliau, ini kerana tahap bacaan IPU di semua kawasan tidak sama.

“Tidak boleh tutup terus sekolah. Kita kena tahu kerana jerebu (IPU) tidak sama.

“Ikut laporan pagi ini jerebu akan berpindah ke Kedah dan Perlis,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Kerangka Kerja Dasar Luar Malaysia Baharu di Pejabat Perdana Menteri di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.

Mahathir diminta mengulas keperluan sekolah di kawasan teruk dilanda jerebu ditutup terus sehingga Jumaat ini.

Ini kerana ibu bapa hanya mendapat maklumat penutupan itu apabila tiba di sekolah dan terpaksa berpatah balik.

Pagi ini sebanyak 82 sekolah menangah dan sekolah rendah telah ditutup operasinya ekoran jerebu yang melanda ibu negara.

Setakat jam 11 pagi tadi, 57 sekolah diarahkan ditutup hari ini demi kesihatan guru, pelajar dan semua kakitangan terlibat.

Namun dua jam kemudian angka itu meningkat dengan penutupan tambahan 25 sekolah lagi di kawasan Batu Muda.

Ia menjadikan secara keseluruhannya 82 sekolah di Batu ditutup meliputi kawasan Sentul yang telah ditutup operasi melibatkan 58,618 pelajar. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: