Semalam, Tun Mahathir menyatakan kesediaannya agar isu peralihan kuasa dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Presiden PH.
Ini adalah kali pertama beliau sedia berbuat demikian sejak memegang jawatan Perdana Menteri kira-kira 17 bulan yang lalu.
Sebelum
ini, di sebalik pendiriannya sering berubah-ubah berhubung tempoh
beliau memegang jawatan Perdana Menteri – mula-mula dua tahun, kemudian
dua setengah tahun, seterusnya tiga tahun dan pernah juga mengatakan
sehingga ekonomi pulih – beliau tidak pernah sekali pun menyatakan
kesediaan agar perkara itu dibincangkan dalam Majlis Presiden.
Sesungguhnya,
pendirian terbaru Tun Mahathir ini agak menarik untuk diperhatikan sama
ada ia benar-benar menunjukkan keikhlasannya untuk menyerahkan jawatan
Perdana Perdana Menteri kepada Anwar Ibrahim atau ini merupakan satu
lagi helah politiknya untuk berkuasa dengan lebih lama.
Lebih
menarik, sehari selepas menyatakan kesediaan agar isu peralihan itu
dibincangkan, beliau juga bercakap tentang kuasa sebenar Majlis Presiden
PH itu.
Kata Tun Mahathir, sokongan pembangkang terhadapnya agar
terus memegang kuasa sehingga habis penggal hanyalah pandangan mereka,
sedangkan yang berkuasa menentukan kedudukannya ialah Majlis Presiden.
“Itu
cuma pendapat mereka, yang akan menentukan kedudukan saya sebagai
Perdana Menteri ialah Majlis Presiden PH. Kita (Majlis Presiden PH) yang
akan putuskan.
“Kalau dulu Majlis Presiden yang cadang saya jadi
Perdana Menteri sebelum PRU14, dia ada hak nak suruh saya duduk lama
atau bila sampai masanya,” kata Tun Mahathir lagi.
Dengan
kesediaan dan adanya sikap terbuka Tun Mahathir itu, adalah penting
untuk Majlis Presiden PH mengambil peluang ini untuk membuat suatu
keputusan yang muktamad berhubung tarikh peralihan kuasa kepada Anwar.
Tidak kira bila tarikh peralihan kuasa itu hendak dilakukan, tarikhnya mesti ada dan tidak boleh lagi tergantung begitu saja.
Dalam
hal ini, hendaklah disedari bahawa bergolaknya PH selama ini adalah
kerana ketidaktentuan berhubung tempoh dan bila peralihan kuasa itu
sepatutnya dilakukan.
Menginjak hampir dua tahun menerajui
kerajaan, soal peralihan kuasa ini mesti sudah ada ketetapan tarikhnya
kerana tidak mahu lagi beberapa pihak, terutamanya UMNO dan Pas, dengan
mudah terus menjadi penghasut dan batu api untuk memecah-belahkan PH.
PH mesti ada pendirian dan kesatuan hati yang jelas dalam hal ini kerana Tun Mahathir sudah berada dalam usia bonus sekarang.
Menetapkan
tarikh peralihan kuasa bukan bererti menolak Tun Mahathir begitu saja,
tetapi itulah satu-satunya pilihan untuk masa depan PH sendiri.
Apabila sudah ada tarikh peralihan kuasa, soal kekaburan dan ketidaktentuan tidak berbangkit lagi.
Tun
Mahathir, jika ada tempoh masa tiga atau empat bulan lagi sebagai
Perdana Menteri sebelum diambil alih oleh Anwar, beliau boleh menumpukan
masanya yang berbaki itu untuk menyelesaikan beberapa urusannya yang
masih tidak selesai.
Anwar pula, apabila sudah ada tarikh untuk
mengambil alih kuasa, bolehlah mula bersiap sedia dan merangka
dasar-dasar yang patut untuk mengukuhkan lagi PH dan juga negara.
Yang
penting, PH akan kelihatan lebih berpadu dan ada hala tuju yang jelas
untuk masa depannya, sementara pembangkang tiada ruang lagi untuk
mengambil apa-apa kesempatan dengan tujuan mengeruhkan lagi keadaan.
Kesimpulannya,
mesyuarat Majlis Presiden PH akan datang, mahu tidak mahu, mesti
membincangkan soal peralihan kuasa dan menetapkan tarikh penyerahan
jawatan Perdana Menteri daripada Tun Mahathir kepada Anwar.
Jika
tidak, PH akan terus bergolak dan berada dalam ketidak-tentuan untuk
tempoh yang lebih masa dan mungkin menutup sama sekali peluangnya untuk
mengekalkan kuasa dalam PRU15 akan datang.