PRK TG PIAI | Ketua pembangkang Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) memberi jaminan akan mempertaruhkan calon lebih muda untuk bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) parlimen Tanjung Piai, awal bulan depan.
Bagaimanapun, naib presiden Umno itu tidak mendedahkan identiti calon daripada gabungan parti itu.
“(BN akan letak calon) Lebih muda daripada calon PH. Orang muda,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.
PRK Tanjung Piai diadakan susulan kematian penyandangnya Dr Md Farid Md Rafik, 42, yang juga timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri daripada Bersatu akibat serangan jantung pada 21 Sept lalu.
Gerakan hari ini meletakkan timbalan setiausaha agungnya Wendy Subramaniam, 38 manakala Pakatan Harapan (PH) mempertaruhkan ketua Bersatu bahagian itu Karmaine Sardini, 66.
'Tak sangka PH letak calon berumur 66 tahun'
"Kita ingat mereka nak letak calon muda seperti yang disebut seorang juruterbang muda tiba-tiba mereka letak orang yang sudah pencen.
"Saya tidak mahu cakap kita seolah-olah menghina dia tapi orang yang sudah berumur 66 tahun. Maknanya tidak seperti yang dijangka.
"Apa yang boleh dia buat. Kalau kita tanya, dia kata 95 tahun pun boleh jadi PM,” katanya.
Mengulas dakwaan kelewatan BN mengumumkan calonnya atas sebab MCA dan Umno belum mencapai kata putus, Ismail Sabri menafikannya.
"Sebab semalam cuma pelancaran jentera BN sahaja kita tidak mahu buat dua perkara dalam satu masa jadi kita lancarkan jentera dulu baru umum calon,” katanya.
Sebaliknya, Ismail Sabri berkata kedua-dua parti itu kini sudah mencapai kata putus.
"Dah ada kata putus. Mungkin umum esok presiden dengan Pengerusi Perhubungan BN negeri akan putuskan bila masa yang sesuai.
"Kita kena kukuhkan dari jentera parti dulu, semalam kita sudah lancarkan jentera parti. Dan lepas itu pengumuman akan dibuat selepas itu tidak perlu besar-besaran sampai macam semalam.
Pengumuman cuma nak tentukan siapa yang bertanding.
"Tapi sebelum 2 November,” katanya.
PRK Tanjung Piai dijadual berlangsung 16 November ini manakala penamaan calon ditetapkan pada 2 Nov.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan