HALAMAN SANTAI

Khamis, 31 Oktober 2019

Pasangan Malaysia didakwa dera anak di Norway kerana berpuasa lebih 12 jam

Hairi Muhamad dan Norliha Khamis hilang hak penjagaan lima 
anak mereka berusia empat hingga 16 tahun sejak Mei lalu, 
selepas disiasat pihak berkuasa susulan aduan seorang anak 
mereka yang tertekan kerana berpuasa melebihi 12 jam. (Gambar 
Facebook)
 
PUTRAJAYA: Kementerian Luar mengesahkan pasangan rakyat Malaysia, Hairi Muhamad dan Norliha Khamis, sedang menghadapi perbicaraan di Norway atas pertuduhan mendera anak mereka.

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini berkata, Kedutaan Besar Malaysia di Stockholm, Sweden yang ditauliahkan serentak ke Norway, sedang memantau perkembangan kes itu.

“Kedutaan Malaysia juga telah menghubungi pasangan berkenaan dan memberikan bantuan khidmat konsular selaras peruntukan Konvensyen Vienna 1963.”

Katanya, pihak kedutaan juga sedang bekerjasama dengan agensi tempatan berkaitan bagi memastikan hak dan kebajikan keluarga itu dipelihara, termasuk memastikan anak mereka ditempatkan bersama keluarga Islam.

Wisma Putra berkata, ia turut mengarahkan pegawai Kedutaan Besar Malaysia hadir dan mengikuti prosiding perbicaraan kes itu pada 4 hingga 6 Nov ini.

Sejak Mei lepas, Hairi, 42, yang bertugas sebagai pakar kimpalan dan Norliha, 42, hilang hak penjagaan lima anak mereka berusia empat dan 16 tahun selepas disiasat pihak berkuasa susulan aduan seorang anak mereka.

Sebuah akhbar tempatan yang menemu bual adik Hairi, Hasrol, melaporkan pada awal Ramadan lepas, seorang daripada anak pasangan itu yang mungkin letih kerana berpuasa, ditegur gurunya dan memaklumkan dia tertekan kerana berpuasa waktu lama (melebihi 12 jam).

Hasrol berkata, guru itu mungkin berpendapat kanak-kanak terbabit didera dan membuat aduan kepada pihak berkuasa perlindungan kanak-kanak.

Tiada ulasan: