Pemeteraian Piagam Muafakat Nasional antara Umno dan PAS adalah hasil
daripada proses yang berjalan selama 21 tahun yang turut melibatkan
satu "misi menyelamat", kata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.
Berkenaan
usaha mendekatkan dua parti yang dahulunya berseteru itu, Zahid
mengimbas kembali ketika beliau pertama kali membangkitkan perkara itu
dalam satu ucapan di Darul Syifa - milik bekas mursyidul am PAS
Allahyarham Dr Haron Din - pada 1998.
"Secara peribadi saya ambil
masa 21 tahun untuk wujudkan peristiwa 14 September (program Himpunan
Penyatuan Ummah)...Bukan mudah untuk mereka menerima kita, bukan mudah,"
katanya ketika merasmikan konvensyen tahunan Umno Selangor di Shah
Alam, hari ini.
Beliau menggesa pemimpin dan anggota Umno untuk
mengenepikan perbezaan dengan PAS dan berusaha untuk menang kembali di
Selangor pada PRU akan datang.
Menceritakan
hubungannya dengan Presiden PAS Abdul Hadi Awang, Zahid berkata beliau
pernah mengarahkan seorang pemandu dari Tabung Haji untuk
"menyelamatkan" anggota parlimen Marang itu dan sembilan lagi pemimpin
PAS pada masa itu yang terkandas di sebuah hotel di Jeddah selama lima
hari ketika dalam perjalanan untuk mengerjakan Haji di Mekah.
Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan sebab mereka terkandas di situ.
"Pak
Lah (Abdullah Badawi) yang ketika itu perdana menteri memohon kepada
duta kita, tak lepas.
Ketika itu saya ada di Mekah dan saya 'lepaskan'
Hadi. Saya tak ada kuasa...tapi siapa bantu saya?
"Bukan kounsel
haji, bukan duta. Tetapi hanya seorang pemandu Tabung Haji," katanya
yang ketika itu menjadi menteri dalam negeri dan turut mengerjakan Haji
pada masa itu.
Katanya lagi, beliau juga secara peribadi menemui
Hadi di rumahnya di Rusila, Terengganu, untuk berunding agar PAS memberi
laluan kepada Lokman Noor Adam untuk bertanding di Sungai Kandis - PRK
pertama selepas PRU ke-14.
Walaupun tewas kepada Pakatan Harapan
(PH), Zahid berkata ia menjadi permulaan kepada kerjasama yang lebih
kukuh antara kedua-dua parti yang membawa kepada beberapa kemenangan
dalam PRK seterusnya.
"Apa jadi selepas (PRK) Seri Setia? Halimah
Ali (dari PAS) jadi calon. Mereka (PAS) berubah sikap (selepas) jentera
kita bergerak seolah-olah kita bertanding," kata bekas timbalan perdana
menteri itu lagi.
'Belajar daripada PAS'
Zahid
juga sekali lagi menggesa agar Umno belajar daripada PAS, selari dengan
kedudukannya yang kini sebagai pembangkang di peringkat persekutuan.
Antaranya anggota Umno perlu membincangkan cara memenuhi kehendak 'rohani' rakyat, bukan hanya kemudahan dan projek fizikal.
Menjelang
PRU ke-14, katanya lagi, Umno Selangor menerusi pengerusinya Noh Omar -
juga menteri perumahan dan kerajaan tempatan ketika itu - terus
menyediakan pelbagai kemudahan menerusi peruntukan persekutuan.
"Tetapi
kita tetap menang lima kerusi saja (di Selangor)," katanya, sambil
menegaskan Umno perlu mengemukakan tawaran baru kepada rakyat yang
menurutnya tidak berpuas hati dengan PH tetapi pada sama tetap tidak
menyukai BN.
Beliau juga menggesa anggota parti itu agar berhenti
bergantung kepada pemimpin parti untuk mendapat dana dalam menjalankan
program, selain mengenepikan kepentingan peribadi demi parti.
Turut
hadir di konvensyen hari ini ialah pemimpin Umno Selangor dan pusat
termasuk Timbalan Presiden Mohamad Hasan; Ketua Penerangan Annuar Musa;
Ketua Wanita Noraini Ahmad; Ketua Pemuda Dr Ashraf Wajdi Dusuki dan
Pengerusi Umno Selangor Mat Nadzari Ahmad Dahalan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan