Seorang doktor yang bercakap di sebuah seminar mengenai pembinaan negara hari ini membuat diagnosis mengenai faktor yang menghalang perpaduan rakyat Malaysia.
Walaupun topik perbincangan yang serius, ahli-ahli NGO Islam ABIM, Wadah dan PKPIM yang hadir bagi Ijtimak Harakiy kali keenam ketawa ketika ahli panel Prof Dr Suresh Kumar Govind mula meniru bunyi cicak bagi menerangkan hujahnya.
Suresh Kumar, penyelaras Kumpulan Persahabatan Khidmat Antara Agama (FGIS), berkata usaha membina negara hanya boleh digerakkan dengan perubahan minda daripada hanya menunjukkan simpati kepada turut merasa empati.
"(Untuk menunjukkan) simpati senang, (anda lihat seseorang yang) belum makan selama satu atau dua hari? Ckckckck, kesiannya,
Menurutnya, perasaan empati akan diterjemahkan kepada usaha untuk membantu orang lain yang memerlukan.
"Empati adalah ketika kita melihat seseorang yang belum makan, kita bersedia membawa mereka ke restoran untuk makan, kerana kita juga dapat merasakan kelaparan mereka," katanya.
"Sekiranya kita hanya melihat masalah rakyat dari jauh, kita akan gagal membantu membina negara," kata Suresh Kumar.
Sementara itu, Penolong Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia, Atiqah Syairah Shaharuddin, mengiktiraf usaha FGIS untuk menggalakkan lebih banyak interaksi dan pemahaman antara kaum, termasuk melalui lawatan ke pelbagai rumah ibadat.
Menggambarkan zaman persekolahannya sebagai terhad kepada kaum tertentu, dia juga menggesa Abim dan NGO gabungannya untuk meneroka kemungkinan kerjasama masa depan yang menyatukan kanak-kanak dari usia lima atau enam tahun dalam pelbagai aktiviti.
Pada penghujung majlis, ijtimak meluluskan resolusi empat perkara yang bertumpu sekitar sejarah pembangunan negara di Malaysia.
Resolusi itu ialah:
- Menginsafi bahawasanya pembinaan bangsa Malaysia mempunyai sejarahnya tersendiri yang perlu digali dan dicerna untuk diterjemahkan semula kepada masyarakat. Dalam mendidik masyarakat, adalah perlu untuk memberi penekanan kepada pentingnya memahami sejarah dan identiti bangsa untuk mengembalikan semangat ta'awun dan menyantuni kepelbagaian yang wujud dalam masyarakat agar terus relevan sebagai bangsa yang terbuka tanpa menggadaikan prinsip syariah dan perundangan yang digariskan.
- Menyedari bahawa, selaku ahli masyarakat dalam sebuah negara berperlembagaan dan berpegang kepada rukun negara yang bermula dengan kepercayaan kepada Tuhan, maka kita mempunyai taklif syarak untuk berperanan sebagai tulang belakang bangsa untuk mengangkat nila-nilai universal dan inklusif yang dianjurkan oleh agama dalam membina negara dan bangsa yang damai, sejahtera serta menerima nila-nilai kebersamaan.
- Menyeru bahawa reformasi intelektual mengenai kefahaman negara bangsa mesti diterapkan dengan asas akidah yang sahih, menyedari tanggungjawab sebagai hamba Allah yang berperanan untuk menyebarkan dakwah dengan hikmah, bersifat kosmopolitan dan terbuka diikuti dengan aspek idealisme, aktivisme, dan spiritualisme yang berorientasikan nilai dan etika.
- Menyedari bahawa reformasi dalam bentuk politik juga adalah satu keperluan, khususnya dengan mewujudkan agensi-agensi yang menyokong agenda ini bagi mengurus dan merencanakan program serta dasar demi meningkatkan kefahaman masyarakat tentang bangsa Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan