HALAMAN SANTAI

Ahad, 27 Oktober 2019

Timbalan menteri dakwa Sarawak cuba sabotaj program Putrajaya

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal 
Pengguna, Chong Chieng Jen (dua dari kanan) merasmikan 
Karnival Kempen Beli Barangan Malaysia serta Sambutan Hari 
Penjaja dan Peniaga Kecil 2019 Zon Sarawak di Kuching pada 
18 Okt lalu. (Gambar Bernama)
 
MIRI: Kementerian Perdagangan Dalam Nageri dan Hal Ehwal Pengguna kesal dengan sikap kerajaan negeri pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang tidak memberi kerjasama terhadap program dilaksanakan kerajaan persekutuan.

Timbalan Menterinya, Chong Chieng Jen mendakwa terdapat unsur sabotaj terhadap inisiatif Putrajaya ketika pelancaran kempen “Beli Barangan Malaysia” di Kuching baru-baru ini.

“Kami cuba menyewa tandas bergerak daripada Majlis Perbandaran Padawan kerana acara itu berlangsung dalam kawasan majlis perbandaran itu, tetapi jawapannnya tidak ada yang boleh disewa,” katanya pada Konvensyen DAP Sarawak ke-19 hari ini yang dirasmikan Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng.

Chong berkata, kementerian itu kemudiannya cuba mendapatkan bantuan Majlis Bandaraya Kuching Selatan dan Dewan Bandaraya Kuching Utara, namun jawapannya tetap sama.

“Itu acara anjuran kerajaan persekutuan dan bukannya DAP namun ketiga-kita pihak berkuasa tempatan menolak pemintaan kami untuk menyewa tandas bergerak,” katanya dan menambah tindakan itu membuktikan bahawa kerajaan negeri seolah-olah mahu mensabotaj program tersebut.

Selain itu, Chong yang juga Pengerusi DAP Sarawak mendakwa terdapat usaha pemimpin GPS mensabotaj cadangan penubuhan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) oleh kerajaan persekutuan bagi memudah penyaluran dana kerajaan pusat kepada rakyat Sarawak.

“Bukan sahaja cuba menyekat inisiatif itu, malahan pemimpin mereka kini menyebarkan berita palsu bagi memburuk-burukkan program MPKK,” katanya.

Justeru, menjelang Pilihan Raya Negeri beliau berharap anggota DAP Sarawak tetap bersatu dan fokus dalam melaksanakan agenda parti dan terus membantu Kerajaan Persekutuan melaksanakan projek serta program yang memberi manfaat kepada rakyat Sarawak.

Tiada ulasan: