HALAMAN SANTAI

Khamis, 31 Oktober 2019

'PM pun kitar semula, takkan calon BN tak boleh?'

 
 

Setiausaha Agung Umno Annuar Musa mengulas kritikan yang mengatakan BN meletakkan "calon kitar semula" di Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai dengan turut menyifatkan bahawa perdana menteri ketika ini juga "dikitar semula".

"Tak apa, kita ada perdana menteri kita kitar semula beberapa kali. Saya rasa tidak ada masalah.
"Kalau kamu boleh ada perdana menteri yang dikitar semula, apa salah calon (yang di kitar semula)?" kata Annuar kepada pemberita di lobi parlimen hari ini.

Semalam, BN mengumumkan bahawa gabungan itu akan meletakkan calon MCA, Wee Jeck Seng bagi pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai.

Wee pernah menjadi ahli parlimen Tanjung Piai selama dua penggal sebelum dikalahkan pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 oleh calon Pakatan Harapan Dr Mohd Farid Mohd Rafik dengan majoriti tipis 524 undi.

PRK Tanjung Piai diadakan susulan kematian Farid yang juga timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 Sept lalu.

PH sebelum ini telah mengumumkan akan meletakkan Ketua Bersatu Bahagian Tanjung Piai Karmaine Sardini sebagai calon.

Hari penamaan calon diadakan Sabtu ini, sementara hari mengundi dijadual pada 16 November.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pertama kali memegang jawatan perdana menteri keempat dari tahun 1981 hingga 2003.

Beliau kini menyandang semula jawatan tersebut sebagai perdana menteri ketujuh.

Sementara itu, Presiden MCA, Wee Ka Siong berkata bahawa pihak yang mengkritik calon BN sebagai kitar semula hanya menggunakan taktik biasa mereka.

"Saya rasa ini taktik biasa digunakan oleh musuh kita untuk melemahkan semangat kita.

"Kita tidak gentar dan saya rasa macam itu kalau semua kalah sekali macam Karpal Singh, (Lim) Kit Siang pun pernah kalah sekali dan kalau tak silap saya mereka pernah dikitar semula sekali kalau ikut definisi mereka," katanya.


Tiada ulasan: