HALAMAN SANTAI

Sabtu, 26 Oktober 2019

‘Utusan ibarat nasi sudah jadi bubur’

Mohammad Arif Nizam
MG091019_HARI-TERAKHIR-UTUSAN-MALAYSIA08
Presiden NUJ Cawangan Utusan, Mohd Taufek Razak.
 

KUALA LUMPUR – Utusan kini ibarat nasi sudah menjadi bubur.

Itu luahan Pengerusi Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJ) Cawangan Utusan Melayu (M) Bhd., Mohd. Taufek Razak.

Ini kerana penutupan operasi syarikat akhbar itu pada 10 Oktober lalu yang didakwa telah dirancang lebih awal dan kini ia sudah tidak memberi makna lagi.

Menurutnya, ia semua gara-gara permainan politik yang menjadikan kakitangan syarikat akhbar berusia 80 tahun sebagai mangsa.

Beliau berkata, rata-rata kakitangan Melayu yang selama ini bekerja di sebuah syarikat Melayu milik UMNO yang kononnya membela nasib orang Melayu namun selepas mereka (pemimpin politik)  sudah menjadi kaya raya, pemimpin parti itu melupakan nasib pekerja.

“Kami juga dari awal lagi menyedari dakwaan rancangan penutupan itu sebab NUJ Utusan telah mendesak UMNO sebelum ini melepaskan pegangan sahamnya dengan segera namun ia tidak dilakukan.

“Bukan kita tidak mengenang jasa UMNO tetapi lagi lama tunggu, lagi sukar untuk menyelamatkan Utusan Melayu.

“NUJ sedar ini akan berlaku tetapi jika UMNO menjual saham seperti dalam Media Prima, perkara seperti sekarang (liquidasi) boleh dielakkan,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Mohd. Taufek diminta mengulas dakwaan Kelab Veteran Utusan Melayu Malaysia (KVUM) bahawa penutupan operasi syarikat akhbar itu pada 10 Oktober lalu sebenarnya telah dirancang lebih awal.

Dalam sidang media semalam, Presiden KVUM, Tan Sri Khalid Yunus berkata, ia dapat dilihat dalam tempoh bermula 23 Ogos lalu hingga 7 Oktober lalu apabila berlaku pemindahan saham milik Utusan Melayu Sdn. Bhd. secara terancang kepada syarikat-syarikat di mana pemiliknya adalah individu yang sama.

Mohd. Taufek yang juga Presiden Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia menambah, kakitangan tidak boleh menghalang sekiranya syarikat syarikat mahu ditutup
Namun tegas beliau, NUJ Utusan akan terus berusaha untuk mendapatkan pampasan, gaji dan tuntutan perbelanjaan lain yang tertunggak mengikut Perjanjian Syarikat (CA) dan prosedur yang ditetapkan undang-undang buruh.

“Harapan kami, likudasi ini dibuat dengan jujur dan ikhlas. Kami hanya mahu menuntut hak kami mengikut CA tetapi jika terdapat penyelewengan atau penipuan, NUJ akan membawa isu ini ke Mahkamah Perusahaan atau Mahkamah Sivil,” katanya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: