HALAMAN SANTAI

Isnin, 28 Oktober 2019

'Calon Bersatu dah 66, harap tahun depan tiada PRK lagi' - Hasni

MALAYSIAKINI
 


PRK TG PIAI | Pengerusi Perhubungan Umno Johor Hasni Mohammed mengulas usia calon Bersatu bagi pilihan raya kecil parlimen Tanjung Piai.

"Calon mereka saya kira 66 tahun, tahun depan 67 tahun saya harap kita tiada PRK lagi. Penat PRK ni," katanya.

Beliau bercakap pada majlis pelancaran jentera BN untuk pilihan raya kecil itu hari ini.

Kerusi parlimen Tanjung Piai kosong susulan penyandangnya bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Md Farid Md Rafik meninggal dunia.

BN dijadualkan mengumumkan calonnya pada hari ini. Bagaimanapun, Hasni berkata pengumuman itu tidak akan dibuat pada hari ini

"Sepatutnya, kita juga namakan calon, sebelah sana tertipu dengan kita. Dia nak umumkan 30 hari bulan (Okt) tetapi bila dia kata nak dia umum dulu pukul 2 petang (tadi).

"Jadi dia tertewas kita takkan umum hari ini," kata Hasni.
Terdahulu, Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai, Karmaine Sardini (gambar, atas) dipilih sebagai calon Pakatan Harapan (PH) bagi pilihan raya kecil (PRK) parlimen berkenaan.

Pencalonan Karmaine, 66 diumumkan oleh Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dalam satu majlis di Tanjung Piai hari ini.

Berasal dari Pontian, Karmaine merupakan anak seorang tokoh agama tempatan dan pernah menjadi Imam Masjid Al-Muttaqin di Johor Bahru serta Pengerusi Biro Agama Bersatu Johor.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, Karmaine bertanding di kerusi parlimen Pontian, tetapi tewas kepada calon BN, Ahmad Maslan dengan hanya majoriti 833 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 2 Nov sebagai hari penamaan calon dan 16 Nov sebagai hari mengundi bagi pilihan raya kecil parlimen itu.
Sementara itu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pula memberi hormat kepada allahyarham Farid.

Zahid juga meminta hadirin membaca surah al Fatihah buat Farid dan semua yang telah meninggal dunia.

"Farid meninggal terlalu mula, seorang doktor, pakar perubatan telah pergi. Beliau seorang yang baik. Itu track rekod beliau.

"Tapi InsyaAllah calon yang kita akan kemukakan lebih baik dari allahyarham. Calon ini IsyaAllah juga anak tempatan.

"Tapi Hasni arahkan saya jangan umumkan calon hari ini," kata Zahid.

Zahid menjelaskan pengumuman calon yang dijanjikan akan dibuat tidak lama lagi.

Pada PRU14, calon MCA Wee Jeck Seng terlepas kerusi parlimen yang disandangnya selama dua penggal apabila tewas tipis dengan 524 undi.

Bagaimanapun, terdapat gesaan supaya Umno meletakkan calonnya pada PRK kali ini.

Tiada ulasan: