HALAMAN SANTAI

Selasa, 22 Oktober 2019

Lim: K'jaan belanja RM5.1 bilion bayar hutang 1MDB, SRC untuk 2019, 2020

 MALAYSIAKINI
 
 

Kerajaan perlu membelanjakan sejumlah RM5.1 bilion pada tahun ini dan tahun depan bagi membayar hutang yang dibuat 1MDB dan bekas subsidiarinya, SRC International Sdn Bhd, yang didakwa telah diselewengkan ketika pentadbiran lalu, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata jumlah itu - digunakan terutama untuk kupon dan bayaran faedah - hanyalah untuk 2019 dan 2020, dan tidak termasuk RM8.93 bilion yang telah dibayar kerajaan untuk 1MDB.

Jumlah itu dijangka semakin besar di masa depan apabila bon yang diambil 1MBD mencapai tempoh matang pada 2022, dan keseluruhan prinsipal perlu dibayar semula ketika itu.

Justeru, Lim berkata beliau setuju dengan kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bahawa adalah satu "keajaiban" apabila Malaysia tidak bankrap.

"Mahathir bercakap benar apabila mengatakan satu keajaiban Malaysia tidak jatuh bankrap akibat kerosakan yang dilakukan rejim kleptokratik terdahulu yang menjadikan tabung negara sebagai milik peribadi.

"Kesannya, sebanyak RM5.1 bilion akan digunakan untuk melunaskan hutang 1MDB dan SRC untuk 2019 dan 2020, wang 'rompakan' yang sepatutnya boleh digunakan untuk kebajikan rakyat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Di sebalik cabaran itu, Lim berkata kerajaan baru masih mampu memenuhi tanggungjawabnya membangunkan negara dan menjaga kebajikan rakyat.

Katanya, bayaran terbaru dibuat Jumaat lalu (18 Oktober) berjumlah AS$50,312,500 sebagai bayaran kupon untuk bon 1MDB Energy (Langat) Ltd berjumlah AS$1.75 bilion.

Katanya lagi, bon itu dijangka matang pada 18 Oktober 2022, ketika prinsipal penuh perlu dibayar.

"Bayaran tersebut telah dibuat dengan menggunakan dana pemulihan aset 1MDB yang telah berjaya dikembalikan sebanyak kira-kira RM1.45 bilion setakat ini," katanya lagi.

Katanya, ada dua lagi bayaran yang perlu dibuat tahun ini, iaitu AS$52.4 juta bayaran kupon untuk 1MDB Energy Ltd pada 11 November, dan bayaran kupon RM143.7 juta untuk Islamic Medium Term Note 1MDB yang perlu dibuat paling lewat 29 November.


Tiada ulasan: