Peguam, Ku Amirul Faiz Ku Seman berkata, semua pekerja berhak menggunakan medium berlandaskan undang-undang untuk mendapatkan gaji dan tunggakan seperti yang dijanjikan sebelum menamatkan khidmat mereka.
“Asasnya hak pekerja adalah gaji dan tunggakan gaji, Skim Pemberhentian Sukarela (VSS) juga perlu dapat seperti yang dijanjikan.
“Ya, mereka boleh buat tuntutan di mahkamah untuk bayar apa yang mereka dijanjikan dan sepatutnya dibayar,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette selepas mengadakan pertemuan bersama kakitangan Utusan di Medan Selera Bandar Sri Permaisuri hari ini.
Namun begitu ujarnya, fakta kes masih perlu diteliti sebelum beliau membuat pertimbangan selanjutnya tentang perkara itu.
“Kalau isu berkaitan perindustrian dalam 60 hari boleh buat tuntutan dengan Jabatan Perhubungan Perindustrian tetapi isu lain saya tidak pasti lagi ada yang di bawah Jabatan Buruh,” tambahnya.
Ku Amirul merupakan anak kepada bekas salah seorang pengarang di Utusan Malaysia, Ku Seman Ku Hussain.
Untuk rekod, Utusan yang bermula sejak 80 tahun lalu itu mula merosot sejak Mei 2018 dan akhirnya ditamatkan operasi pada 10 Oktober lalu.
Kini syarikat itu sedang berusaha dengan menjual aset-aset syarikat dan kumpulan untuk menampung modal dan mendapatkan aliran tunai mencukupi.
Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Abd. Aziz Sheikh Fadzir, langkah itu dibuat selepas pelbagai usaha ‘menyelamatkan’ syarikat tidak menjadi.
Ia termasuk menawarkan VSS kepada 700 kakitangan, penjualan aset, edaran akhbar menjunam turun dan kegagalan sumbangan iklan tidak menepati sasaran.
Namun dilaporkan terdapat sejumlah pekerja yang ditawarkan VSS sebelum ini masih belum dibayar seperti yang dijanjikan.-MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan