HALAMAN SANTAI

Isnin, 21 Oktober 2019

Belanjawan 2020: Selepas Nancy, Wilson bawa keluhan rakyat Sarawak

Ahli Parlimen Hulu Rajang, Wilson Ugak Kumbong. (Gambar Facebook)
 
PETALING JAYA: Seorang lagi ahli Parlimen Sarawak kecewa dengan peruntukan kepada negeri itu dalam pembentangan Belanjawan 2020, dua minggu lalu.

Wilson Ugak Kumbong (GPS-Hulu Rajang) berkata Putrajaya tidak sepatutnya melupakan perjanjian yang membawa kepada pembentukan Malaysia 63 tahun lalu, merujuk Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Segala kemajuan dan keuntungan (kerajaan) tidak dinikmati anak-anak Sarawak. Hanya Semenanjung Malaysia sahaja,” katanya dalam sesi perbahasan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat, hari ini.

Wilson bukan satu-satunya wakil rakyat Sarawak yang mewakili keluhan penduduk negeri itu yang kecewa dengan pengumuman kerajaan Pakatan Harapan melalui Belanjawan 2020 di mana negeri itu hanya menerima 8% daripada belanjawan negara.

Minggu lalu, Ahli Parlimen Batang Sadong Nancy Shukri turut mempersoal Menteri Kewangan Lim Guan Eng, mengatakan Sarawak bukannya susah puas hati selepas menerima peruntukan negeri kedua terbesar dalam Belanjawan 2020, cuma “tahu dan sedar di mana hak kita yang perlu dituntut”.

Mengulas lanjut, Wilson turut mempersoal wang status hutang RM1 bilion kerajaan Sarawak dengan Kerajaan Persekutuan akan digunakan untuk membaik pulih sekolah daif di negeri itu.
“Mana RM1 bilion? Isu sekolah janganlah dipolitikkan.

“Jangan rasa rugi kerana melalui pendidikan akan lahir model insan berkualiti untuk mentadbir negara suatu ketika nanti,” katanya merujuk persetujuan antara Menteri Pendidikan Maszlee Malik dengan Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Tun Openg ketika lawatannya ke Kuching, Februari lalu.

Sebelum ini, Maszlee berkata persetujuan itu akan memberi manfaat kepada 436,000 murid di Sarawak.

Wilson turut menyindir peruntukan belanjawan negara kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) yang memberi penekanan kepada teknologi jalur lebar 5G tetapi tidak melihat realiti kemudahan dan teknologi komunikasi di negeri itu.

“Kami ni bukan 5G, dapat 3G pun jadilah,” katanya.

Terdahulu, pengumuman kerajaan memperuntukkan RM4.4 bilion kepada Sarawak daripada Belanjawan 2020 menerima kritikan bertali arus.

Pelbagai kritikan diterima termasuk menyifatkan PH gagal menunaikan janjinya kepada rakyat Sarawak dan menggambarkan Bajet 2020 sebagai “berpusatkan Malaya”.

Tiada ulasan: