HALAMAN SANTAI

Sabtu, 26 Oktober 2019

Jika perhimpunan semai kebencian kaum, itu rasis - Khalid

MALAYSIAKINI
 


Mengadakan perhimpunan berasaskan kaum tidak salah, namun menjadikannya medan menyemai kebencian terhadap kaum lain adalah perbuatan rasis, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad.

Beliau berkata demikian sebagai respon terhadap kekecewaan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad apabila Kongres Maruah Melayu yang dianjurkan beberapa NGO baru-baru ini dilabel sebagai rasis.

"Perhimpunan bukan masalahnya tetapi pengisiannya. Semua kaum, malahan suku kaum, berkumpul membincang masalah dihadapi kaumnya dan negara serta cara-cara mengatasinya.

"Tetapi sekiranya ia digunakan untuk menyemai kebencian terhadap kaum lain, maka barulah ia menjadi rasis," tulis Khalid melalui Twitternya, hari ini.
 
Khalid turut berkongsi berita mengenai kekecewaan Mahathir itu pada pautan Twitternya.

Mahathir yang juga Pengerusi Bersatu menyampaikan ucaptama pada Kongres Maruah Melayu di Shah Alam, 6 Okt lalu.

Semalam, perdana menteri berkata beliau merasa amat pedih apabila perhimpunan kaum Melayu dituduh sebagai rasis, semasa kaum lain boleh mengadakan perhimpunan bagi membincangkan hal ehwal mereka.

Katanya beliau menghadiri Kongres Maruah Melayu di Shah Alam itu kerana dirinya adalah seorang Melayu.

“Saya merasa amat pedih, memikirkan bahawa dalam negara sendiri penduduk asalnya tidak disokong untuk mengadakan perhimpunan tanpa dituduh sebagai rasis,” katanya menerusi laman blognya chedet.cc.

Mahathir berkata beliau juga amat terkejut apabila dinasihatkan supaya tidak hadir Kongres itu bagi membincangkan isu-isu berkaitan orang Melayu.

Tiada ulasan: