Katanya, langkah itu antara inisiatif utama di bawah Pelan Hala Tuju Sifar Plastik Sekali Guna 2018 hingga 2030, termasuk amalan tiada penggunaan straw yang menggalakkan pengguna untuk minum terus dari cawan atau gelas.
“Pengenaan caj ke atas beg plastik dan tiada penggunaan straw adalah inisiatif kerajaan dalam mencegah pengguna daripada menggunakan plastik sekali guna dan sekali gus dapat mendorong pengguna membuat keputusan lebih mesra alam dengan membawa beg boleh guna semula semasa membeli-belah dan amalan meminum tanpa menggunakan penyedut minuman,” katanya selepas melancarkan Kempen Cintai Alam Sekitar hari ini.
Beliau turut memuji usaha kerajaan Pulau Pinang menggunakan hasil caj penggunaan beg plastik untuk program pemuliharaan alam sekitar serta menyeru negeri lain menjadikannya contoh.
Kerajaan memperkenalkan Kempen Hari Tanpa Beg Plastik sejak 1 Jan 2011 pada setiap Sabtu.
Susulan itu, beberapa negeri seperti Selangor, Pulau Pinang, Melaka, Perlis, Perak, Terengganu, Kelantan dan Sarawak mula mengambil langkah sama.
Di Wilayah Persekutuan pula, peruncit hanya dibenar menyediakan beg plastik kategori biodegradasi dan “compostable”. Bermula Mac lalu, peruncit mengenakan caj 20 sen untuk setiap beg plastik.
Selain itu, beberapa negeri memulakan kempen pemberian straw atas permintaan, iaitu di Wilayah Persekutuan (bermula Jan 2019), Kedah dan Pulau Pinang (bermula April 2019) dan Selangor (bermula 1 Julai 2019).
Wilayah Persekutuan turut mengenakan larangan penggunaan straw plastik, dengan penguatkuasaannya akan bermula Jan depan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan