HALAMAN SANTAI

Isnin, 21 Oktober 2019

Belum ada keputusan haram komik kontroversi, kata KDN

Komik berjudul ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ 
yang diterbitkan sebuah syarikat diketuai bekas ahli DAP, Hew 
Kuan Yau.
 
KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) belum memutuskan sama ada akan mengharamkan komik berjudul “Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama” yang didakwa berunsur propaganda dan diedarkan di sekolah-sekolah di Pulau Pinang.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Mohd Azis Jamman berkata, sebarang tindakan susulan akan dimaklumkan selepas KDN dan Kementerian Pendidikan selesai menjalankan siasatan ke atas komik itu.

“Saya masih tidak tahu tentang keputusan isu itu dan sebelum ini DAP sudah menafikan penglibatan mereka. Kita tengok apakah hasil siasatannya terlebih dahulu.

“Di peringkat KDN, setakat ini saya masih tidak dapat apa-apa gambaran atau arahan sama ada ia diharamkan atau tidak, kena tunggu lagi,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Komik itu diterbitkan hasil kerjasama bekas ahli DAP yang juga kurator Muzium Kebudayaan dan Komik Asia, Hew Kuan Yau dengan artis tempatan, Chong Po Ling.

Khamis lalu, Kementerian Pendidikan dilaporkan berkata, ia tidak pernah memberi kebenaran dan kelulusan untuk pengedaran komik itu di institusi pendidikan, termasuk sekolah.

“Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah telah diarahkan untuk memastikan semua sekolah tidak menerima dan membuat edaran buku komik daripada mana-mana pihak atau pembekal,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

Keesokannya, Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, laporan awal Bahagian Keselamatan KDN mendapati ada “perkara tidak betul” dalam komik berkenaan dan tindakan tegas akan diambil ke atas pihak yang menerbit dan mengedar komik itu.

Hari ini, Azis berkata, beliau tidak bersetuju buku yang turut menyelitkan isu politik diedarkan di sekolah.

“Saya rasa tidak eloklah sebarkan (komik itu) di sekolah dan gambar macam itu. Namun, apa-apa pun kita tunggu keputusan Kementerian Pendidikan.”

Tiada ulasan: