HALAMAN SANTAI

Sabtu, 19 Oktober 2019

Bapa rayu keadilan pada hari ulang tahun ke-13 kematian Altantuya

MALAYSIAKINI
 


Bapa warganegara Mongolia, Altantuya Shaariibuu meluahkan rasa kecewa terhadap penderitaan dialami keluarganya, dalam surat yang ditulis sempena ulang tahun ke-13 kematian anak perempuannya hari ini.

Dalam surat berjudul "Kebenaran sebenar dalam lingkaran penderitaan tidak berkesudahan", Setev Shaariibuu berkata Altantuya masih belum mendapat keadilan di mahkamah.

Setev menyatakan rasa tidak senang dengan perkembangan terbaru apabila keluarganya menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan untuk mengguna pakai keputusan sabitan jenayah  dalam saman sivil mereka.

Beliau menegaskan undang-undang berkaitan membolehkan bukti dan dokumen daripada kes jenayah diakses untuk saman sivil.

"Malangnya, Malaysia tidak ikut undang-undang.

"Ia membazir masa dan wang untuk mengumpulkan semua bukti dan mengambil kenyataan yang diperlukan daripada saksi yang relevan dan pihak berkepentingan lain.

"Ini menyebabkan kerugian berganda kepada keluarga saya," tegasnya.

Ditujukan kepada "semua pihak berkuasa Malaysia yang relevan, badan kehakiman dan kemanusiaan", beliau bertanya: "Bilakah lingkaran penderitaan kami yang tidak berkesudahan ini berakhir?"

Surat itu diakhiri dengan Setev menandatanganinya sebagai "warganegara Mongolia".

Surat asal, yang ditulis oleh Setev dalam bahasa Mongolia, bersama terjemahan bahasa Inggerisnya diberikan kepada Malaysiakini oleh peguam Mijiddorj Munkhsharuul.
Surat Setev Shaariibuu
Pada 1 Okt tahun lepas, keluarga Altantuya memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di Shah Alam.

Ahli keluarga yang memfailkan rayuan itu ialah Setev, ibu Altantuya, Altantsetseg Sanjaa, serta anaknya Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga.

Mahkamah Tinggi menolak permohonan mereka untuk menggunakan keterangan daripada keputusan Mahkamah Persekutuan yang menjatuhkan hukuman mati ke atas dua anggota polis dalam pembunuhan Altantuya, dalam kes tuntutan RM100 juta mereka.

Dalam keputusannya, hakim Mahkamah Tinggi Vazeer Alam Mydin Meera memutuskan bahawa Seksyen 43 Akta Keterangan 1950 tidak membenarkan penggunaan sabitan jenayah dalam kes sivil.

Pada 4 Jun 2007, ahli keluarga Altantuya memfailkan tuntutan mahkamah yang mendakwa kematian wanita itu menyebabkan mereka menghadapi trauma mental dan psikologi dan mahu mendapatkan ganti rugi, termasuk tuntutan kebergantungan.

Mereka menamakan dua pegawai polis, Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar, penganalisis politik Abdul Razak Baginda dan kerajaan sebagai defendan dalam saman itu.

Abdul Razak didakwa bersubahat dengan Azilah dan Sirul Azhar untuk membunuh Altantuya pada tahun 2006, namun dibebaskan daripada tuduhan itu pada Oktober 2008 tanpa diarah membela diri, sementara dua pegawai polis didapati bersalah pada tahun 2009.

Pada 23 Ogos 2013, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Azilah dan Sirul Azhar dan membebaskan mereka daripada pertuduhan tetapi keputusan itu dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan pada 13 Jan 2015, berikutan rayuan pihak pendakwaan.

Dalam menjelaskan keputusan mahkamah pada 10 Oktober, peguam Shaariibuu, Sangeet Kaur, berkata rayuan itu ditarik balik memandangkan kedudukan undang-undang bahawa sabitan jenayah tidak boleh digunakan dalam tuntutan sivil.


 


 

Tiada ulasan: