HALAMAN SANTAI

Isnin, 28 Oktober 2019

Adun DAP bidas NGO dakwa tak dirujuk berhubung projek mega

MALAYSIAKINI
 
 

Seorang Adun DAP mengecam NGO yang menentang projek penambakan dan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP), dengan mengatakan tidak benar kerajaan negeri gagal merujuk mereka berhubung projek mega berkenaan.

Wakil rakyat Pengkalan Kota, Daniel Gooi berkata banyak usaha dibuat kerajaan Pulau Pinang bagi melibatkan masyarakat awam dalam projek transit aliran ringan (LRT) sejak pembentukan Majlis Pengangkutan Pulau Pinang.

Dalam satu kenyataan hari ini, Gooi menjelaskan sesi perbincangan merangkumi ahli-ahli NGO Penang Forum telah dianjurkan selepas PTMP diambil alih oleh kerajaan negeri sejak 2015.

Beliau juga dimaklumkan setiap individu dari Penang Forum diberikan peluang untuk bercakap pada sesi tersebut.

“Malah, selain platform berkaitan pengangkutan, terdapat pelbagai kumpulan sivil turut dijemput di sesi perbincangan Penang 2030 bersama pihak berkepentingan tahun lalu, di mana wakil Penang Forum, Khoo Salma Nasution turut terlibat.

“Lebih-lebih lagi, kerajaan negeri telah memberikan penjelasan dan klarifikasi apabila Penang Forum membuat tuduhan tidak berasas.

“Tetapi, malangnya, bila penjelasan diberikan oleh kerajaan negeri, agak kerap ia tidak menyenangkan Penang Forum.

“Sebenarnya, pembohongan dan kenyataan mengelirukan sering digunakan oleh sekumpulan individu untuk memburukkan kerajaan negeri dan usaha kami memberikan penyelesaian trafik secara menyeluruh bagi rakyat Pulau Pinang melalui PTMP,” jelasnya lagi.

Gooi berkata demikian bagi menjawab kenyataan Penang Forum yang mencadangkan perbahasan dengan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow mengenai projek LRT Bayan Lepas-Komtar.

Dalam kenyataannya, Salma berkata Chow tidak memberikan respon kepada pertanyaan beliau berhubung projek LRT berkenaan sebaliknya memberi tumpuan kepada Kajian Impak Alam Sekitar, yang dipaparkan pada tahun 2017.

Pertanyaan beliau dibangkitkan dalam surat bertajuk "Penang's Bayan Lepas LRT - Legacy Glorious or White Elephant Projek" yang disiarkan dalam Malaysiakini pada 22 Okt.

Chow menyifatkan dakwaan itu sebagai "tidak berasas".

Tiada ulasan: