MALAYSIAKINI
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong memaklumkan akan memberikan jawapan bertulis kepada Ahmad Maslan (BN- Pontian) berhubung perincian peruntukan RM4 juta untuk Tanjung Piai.
Hal itu dimaklumkan Sim selepas Ahmad mencelah, meminta perincian tersebut ketika Sim menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 di persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.
“Saya kira kita tidaklah sebut ia (sebagai) kebetulan, ya.
“Cuma saya nak tahu apa dia perincian peruntukan itu,” soal Ahmad ketika mencelah.
“Saya akan minta pegawai untuk berikan jawapan bertulis kepada pihak YB Pontian,” jawab Sim ringkas.
Dr Mohamed Farid selaku anggota parlimen Tanjung Piai, meninggal dunia pada 21 September, meninggalkan kerusi itu kosong dan akan dipertandingkan dalam pilihan raya kecil yang ditetapkan 16 November.
Sim ketika itu sedang memberi penjelasan tentang peruntukan itu seperti pernah dibangkitkan Ahmad sebelum ini.
Seperti pernah dijelaskan Syed Saddiq, kata Sim, peruntukan tersebut adalah untuk tujuan baik pulih kemudahan sedia ada bagi memberi keselesaan kepada masyarakat Tanjung Piai khususnya golongan belia untuk aktiviti sukan dan riadah.
“Peruntukan ini sebenarnya dah dipohon oleh Allahyarham Dr Md Farid yang merupakan wakil rakyat yang begitu prihatin dan ambil berat terhadap kebajikan rakyat di situ,” katanya.
Pada 19 Oktober, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan peruntukan persekutuan RM4 juta untuk menaik taraf kemudahan sukan dan rekreasi di Tanjung Piai, sebagai sebahagian daripada peruntukan RM14.6 juta yang dipohon arwah Dr Mohamed Farid.
Pengumuman peruntukan oleh beberapa menteri di Tanjung Piai belakangan ini, mengundang kritikan daripada pembangkang yang mendakwanya sebagai usaha meraih undi.
Namun, semua menteri menafikan dakwaan tersebut dan mendakwa peruntukan tersebut ada kaitan dengan PRK tersebut.
Selain Syed Saddiq, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Salahuddin Ayub turut memperuntukkan RM3 juta bagi projek naik taraf tiga jeti nelayan dalam Parlimen Tanjung Piai.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun, pula memaklumkan 23 permohonan geran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Parlimen Tanjung Piai sudah diluluskan dengan peruntukan RM230,000.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan