HALAMAN SANTAI

Khamis, 31 Oktober 2019

Jho Low di UAE, tapi mungkin mohon suaka di negara lain, kata laporan

FMT Reporters

Jho Low dikatakan mempunyai ‘hubungan rapat dengan kerabat 
diraja’ di Timur Tengah. (Gambar fail)

PETALING JAYA: Ahli perniagaan buruan, Low Taek Jho yang dilaporkan memeterai perjanjian AS$1 bilion dengan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) dikaitkan dengan skandal 1MDB,
dikatakan berada di Emiriah Arab Bersatu, tetapi sedang memohon suaka di negara lain, menurut laporan The Malaysian Insight .

Portal berita itu melaporkan Low yang lebih dikenali sebagai Jho Low dipercayai berulang-alik antara Kuwait, Arab Saudi dan negara lain di Timur Tengah, serta Eropah sejak Jun lalu.

Low dikatakan mempunyai “hubungan rapat dengan kerabat diraja” di Timur Tengah.

Portal itu memetik sumber sebagai berkata, Low ditawarkan suaka pada Ogos lalu di bawah Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia dan Konvensyen Eropah Mengenai Hak Asasi Manusia.

“Dia ditawarkan suaka hasil tindakan politik yang didakwa dilakukan Malaysia dan pelanggaran hak asasi manusia terhadapnya,” kata sumber yang dipetik TMI.

Menurut portal itu, peguam Low mengesahkan tawaran suaka itu, tetapi tidak memberikan butirannya.

Satu lagi sumber berkata, Low dilindungi undang-undang antarabangsa atas alasan dia tidak akan mendapat perbicaraan adil di Malaysia.

Sept lalu, polis dilaporkan berkata, mereka tahu di mana Low berada dan berharap dapat membawanya pulang ke tanah air menjelang akhir tahun ini bagi membantu siasatan skandal 1MDB.

Tiada ulasan: