HALAMAN SANTAI

Selasa, 29 Oktober 2019

BERIKUTAN KESEDIAAN TUN M, MESYUARAT MAJLIS PRESIDEN AKAN DATANG MESTI MENETAPKAN TARIKH PENYERAHAN JAWATAN



Semalam, Tun Mahathir menyatakan kesediaannya agar isu peralihan kuasa dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Presiden PH.

Ini adalah kali pertama beliau sedia berbuat demikian sejak memegang jawatan Perdana Menteri kira-kira 17 bulan yang lalu.

Sebelum ini, di sebalik pendiriannya sering berubah-ubah berhubung tempoh beliau memegang jawatan Perdana Menteri – mula-mula dua tahun, kemudian dua setengah tahun, seterusnya tiga tahun dan pernah juga mengatakan sehingga ekonomi pulih – beliau tidak pernah sekali pun menyatakan kesediaan agar perkara itu dibincangkan dalam Majlis Presiden.

Sesungguhnya, pendirian terbaru Tun Mahathir ini agak menarik untuk diperhatikan sama ada ia benar-benar menunjukkan keikhlasannya untuk menyerahkan jawatan Perdana Perdana Menteri kepada Anwar Ibrahim atau ini merupakan satu lagi helah politiknya untuk berkuasa dengan lebih lama.

Lebih menarik, sehari selepas menyatakan kesediaan agar isu peralihan itu dibincangkan, beliau juga bercakap tentang kuasa sebenar Majlis Presiden PH itu.

Kata Tun Mahathir, sokongan pembangkang terhadapnya agar terus memegang kuasa sehingga habis penggal hanyalah pandangan mereka, sedangkan yang berkuasa menentukan kedudukannya ialah Majlis Presiden.

“Itu cuma pendapat mereka, yang akan menentukan kedudukan saya sebagai Perdana Menteri ialah Majlis Presiden PH. Kita (Majlis Presiden PH) yang akan putuskan.

“Kalau dulu Majlis Presiden yang cadang saya jadi Perdana Menteri sebelum PRU14, dia ada hak nak suruh saya duduk lama atau bila sampai masanya,” kata Tun Mahathir lagi.

Dengan kesediaan dan adanya sikap terbuka Tun Mahathir itu, adalah penting untuk Majlis Presiden PH mengambil peluang ini untuk membuat suatu keputusan yang muktamad berhubung tarikh peralihan kuasa kepada Anwar.

Tidak kira bila tarikh peralihan kuasa itu hendak dilakukan, tarikhnya mesti ada dan tidak boleh lagi tergantung begitu saja.

Dalam hal ini, hendaklah disedari bahawa bergolaknya PH selama ini adalah kerana ketidaktentuan berhubung tempoh dan bila peralihan kuasa itu sepatutnya dilakukan.

Menginjak hampir dua tahun menerajui kerajaan, soal peralihan kuasa ini mesti sudah ada ketetapan tarikhnya kerana tidak mahu lagi beberapa pihak, terutamanya UMNO dan Pas, dengan mudah terus menjadi penghasut dan batu api untuk memecah-belahkan PH.

PH mesti ada pendirian dan kesatuan hati yang jelas dalam hal ini kerana Tun Mahathir sudah berada dalam usia bonus sekarang.

Menetapkan tarikh peralihan kuasa bukan bererti menolak Tun Mahathir begitu saja, tetapi itulah satu-satunya pilihan untuk masa depan PH sendiri.

Apabila sudah ada tarikh peralihan kuasa, soal kekaburan dan ketidaktentuan tidak berbangkit lagi.

Tun Mahathir, jika ada tempoh masa tiga atau empat bulan lagi sebagai Perdana Menteri sebelum diambil alih oleh Anwar, beliau boleh menumpukan masanya yang berbaki itu untuk menyelesaikan beberapa urusannya yang masih tidak selesai.

Anwar pula, apabila sudah ada tarikh untuk mengambil alih kuasa, bolehlah mula bersiap sedia dan merangka dasar-dasar yang patut untuk mengukuhkan lagi PH dan juga negara.

Yang penting, PH akan kelihatan lebih berpadu dan ada hala tuju yang jelas untuk masa depannya, sementara pembangkang tiada ruang lagi untuk mengambil apa-apa kesempatan dengan tujuan mengeruhkan lagi keadaan.

Kesimpulannya, mesyuarat Majlis Presiden PH akan datang, mahu tidak mahu, mesti membincangkan soal peralihan kuasa dan menetapkan tarikh penyerahan jawatan Perdana Menteri daripada Tun Mahathir kepada Anwar.

Jika tidak, PH akan terus bergolak dan berada dalam ketidak-tentuan untuk tempoh yang lebih masa dan mungkin menutup sama sekali peluangnya untuk mengekalkan kuasa dalam PRU15 akan datang.



Tiada ulasan: